BINTULU: Pihak kontraktor diminta untuk meningkatkan tahap keselamatan di tapak pembinaan jejambat di persimpangan Jalan Medan Jaya – Jalan Tun Hussein Onn di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata ini berikutan kelewatan dalam kemajuan projek itu yang menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.
“Saya sedar kerja (pembinaan) agak perlahan, namun kebimbangan utama kami adalah mengenai papan tanda amaran dan lampu keselamatan berkelip.
“Mereka (konktraktor) telah berjanji untuk menyelesaikannya secepat mungkin dan sedang berusaha untuk memperbaikinya dalam minggu ini,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri taklimat bersama pihak JKR, konsultant dan kontraktor projek tersebut di Pejabat JKR Bintulu hari ini.
Johnny Pang berkata banyak aduan diterima daripada penduduk mengenai keselamatan di kawasan pembinaan tersebut yang terletak di tengah-tengah bandar Bintulu.
“Saya berharap pihak kontraktor dapat mempercepatkan kerja-kerja pembinaan jejambat ini demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut berjanji akan terus berhubung dengan pihak terbabit untuk memastikan keselamatan dan kemajuan projek itu dipantau dengan baik bagi memenuhi harapan masyarakat.