
SIBU: Para kontraktor yang terlibat dalam menjalankan kerja pembinaan khususnya di kawasan saluran paip diminta supaya tidak menyembunyikan sebarang kebocoran atau kerosakan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, mereka harus segera melaporkannya kepada pihak berkuasa air berkaitan di kawasan terbabit.
“Sila ikut SOP dan bekerjasama dengan agensi air kami apabila berlaku kebocoran akibat kerosakan. Saya percaya kerosakan itu tidak disengajakan. Jadi tolong jangan sembunyikan kerosakan itu.
“Sila maklumkan kerosakan itu supaya tindakan sewajarnya boleh diambil. Jangan tunggu penduduk mengadu kepada kami, kerana ia pasti tidak akan berakhir dengan baik (kerana kemarahan orang ramai terhadap gangguan itu),” katanya ketika berucap pada majlis Hari Raya Lembaga Air Sibu (LAS) di sebuah hotel terkemuka, di sini malam tadi (25 April).
Beliau memberitahu, sebanyak 30 projek bekalan air di bawah LAS telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh kerajaan Sarawak dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM697 juta.
“Kami serius menangani isu air di seluruh Sarawak, bukan hanya di Sibu. Kami sedang melaksanakan pelan induk itu, dan diharapkan kami dapat mencapainya menjelang 2030, selaras dengan PCDS, di mana utiliti termasuk air dan elektrik – adalah antara pemboleh utama,” katanya.
Katanya, liputan bekalan air luar bandar kekal pada 71 peratus, berbanding lebih 90 peratus di kawasan bandar, menjadikan purata keseluruhan kepada 85 peratus.
“Bagi kawasan luar grid, kami akan melaksanakan projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) bagi memastikan bekalan air bersih sampai kepada semua masyarakat,” kata beliau.
Sementara itu, Pengurus Besar LAS, Abdul Malik Abdullah @ Itin Langit memberitahu, LAS mempunyai sebanyak 30 projek yang telah diluluskan dalam RMK-12 di bawah kerajaan Sarawak dengan jumlah kos projek RM697 juta.
Katanya, status pelaksanaan adalah lapan projek sudah siap, sebanyak 11 projek mengikut jadual dan juga 11 projek masih dalam perancangan.
“Di antara impak dan outcome awal daripada projek yang telah siap tadi, adalah kurang gangguan bekalan air, tekanan air yang lebih baik dan kurang penghantaran air menggunakan lori tangki air.
“Sebagai contoh, di kawasan Bawang Assan dan Melanggan suatu ketika dulu mengalami gangguan bekalan air yang agak kritikal dan ketara, di mana purata penghantaran bulanan menggunakanlori tangki air sebanyak 307 kali, tetapi kini tidak lagi dengan siapnya penggantian paip lama fasa 1 dan pembinaan tangki air berkapasiti 81ML.
“Dan purata penghantaran air menggunakan lori tangki air telah menurun kepada 47 kali sahaja. Begitu juga di Rh. Johnny, Rh. Edward dan Rh. John Lalong di kawasan Teku Pasai telah ada bekalan air selama 24 jam setelah pemasangan saluran paip dan inline booster siap.
“Sebelum ini purata bulanan penghantaran air menggunakan lori tangki air adalah sebanyak 118 kali tetapi kini penghantaran air juga tidak perlu dilakukan lagi kecuali berlakunya paip pecah,” katanya.
Oleh Akun Giman