
KUCHING: Sarawak Energy melalui Syarikat SESCO Berhad (SESCO) menggesa kontraktor pihak ketiga supaya berhati-hati ketika menjalankan kerja berhampiran infrastruktur elektrik dan menghubungi pihak utiliti sebelum memulakan sebarang kerja penggalian atau menanam tiang.
Menurut SESCO, penggalian tidak selamat boleh merosakkan kabel bawah tanah, mengganggu bekalan elektrik serta perkhidmatan kritikal lain termasuk bekalan air, selain menimbulkan risiko keselamatan seperti kejutan elektrik, kebakaran, kecederaan dan kehilangan nyawa.
Amaran ini dikeluarkan susulan insiden di Asajaya pada 22 Disember lalu, apabila kabel bawah tanah rosak ketika kerja menanam tiang berhampiran Klinik Kesihatan Serpan, sekali gus menjejaskan loji rawatan air dan bekalan elektrik kepada pelanggan di Asajaya, Sebuyau, Sadong Jaya, Sebangan serta sebahagian kawasan Simunjan.


Bekalan elektrik pulih sepenuhnya di Sebuyau dan Simunjan pada 3.51 petang dan di Asajaya pada 5.00 petang.
“Sebarang kerja berhampiran kemudahan elektrik mesti mematuhi protokol keselamatan yang ditetapkan. Kegagalan mematuhi prosedur bukan sahaja membahayakan pekerja tetapi turut mengganggu perkhidmatan penting kepada komuniti,” kata Pengurus Besar Elektrifikasi Luar Bandar, Sarawak Energy, Nazry Abdul Latip, melalui sebuah kenyataan media hari ini.
Bagi insiden tersebut, SESCO telah mengeluarkan arahan henti kerja dan akan mengeluarkan surat amaran kepada pihak terlibat, selain memulakan langkah pemulihan kos.
Rondaan di kawasan berisiko tinggi akan dipertingkatkan dan aktiviti tidak selamat akan menyebabkan kerja dihentikan serta-merta.
SESCO mengingatkan kontraktor bahawa merosakkan aset elektrik merupakan satu kesalahan serius di bawah undang-undang dan boleh mengakibatkan tindakan undang-undang atau penalti kewangan.
Kontraktor diingatkan supaya sentiasa berunding dengan SESCO sebelum memulakan kerja berhampiran infrastruktur elektrik.
Orang ramai boleh melaporkan gangguan bekalan atau aktiviti mencurigakan berhampiran kemudahan elektrik dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di 1300-88-3111, emel ke customercare@sarawakenergy.com, menggunakan aplikasi SEB Cares atau portal web, atau berinteraksi dengan ejen maya CARINA.