
LIMBANG: Kontraktor dan konsultan yang terlibat dalam pembinaan Projek Tebingan Sungai Limbang digesa menyiapkan projek berkenaan selewat-lewatnya April tahun ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata projek sepanjang 1.8 kilometer (km), yang terpanjang di Sarawak itu, mengalami kelewatan akibat masalah tanah susur, khususnya bagi fasa satu yang kini berada pada peringkat akhir.
Menurut beliau, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM9 juta bagi kerja pembinaan dan pembaikan Projek Tebingan Sungai Limbang fasa satu yang terjejas sebelum ini.
“Kita meminta agar konsultan dan kontraktor terlibat dapat menyiapkan projek ini, khususnya fasa satu, selewat-lewatnya April tahun ini.
“Ini penting kerana banyak program berskala besar dirancang tahun ini, termasuk Pesta Limbang yang dijangka berlangsung pada Julai dan bakal dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa lawatan kerja ke tapak Projek Tebingan Sungai Limbang di belakang Stesen Petronas, semalam.

Dr Abdul Rahman berkata, walaupun projek berkenaan dijangka siap pada April ini, ia berdepan beberapa cabaran termasuk masalah tanah susur dan isu teknikal lain.
Projek Tebingan Sungai Limbang bukan sahaja mengubah landskap pembangunan bandar, malah menyediakan prasarana perniagaan kepada peniaga tempatan. Sebahagian projek telah siap dan digunakan, manakala selebihnya masih dalam pembinaan.
Projek bernilai RM120 juta itu dibangunkan secara tiga fasa di bawah peruntukan kerajaan negeri dan dijangka siap sepenuhnya pada April tahun ini.
Ia juga merupakan kemudahan sosial untuk aktiviti rekreasi dan riadah, selain berpotensi menjadi tarikan pelancongan serta memacu ekonomi di utara Sarawak.
Turut hadir ialah Timbalan Residen Bahagian Limbang, Rozita Kulai, dan Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal.
Oleh Adeng Edrus