
KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan tinggi minggu depan, disokong oleh pembelian berterusan oleh kalangan bank pusat global walaupun harga tinggi.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata bank pusat terus meningkatkan rizab emas masing-masing sepanjang tempoh suku ketiga, menunjukkan ketidaktentuan politik dan ekonomi yang berterusan menjadikan logam berharga itu kekal sebagai pelindung nilai strategik.
“Tindakan itu mencerminkan corak ‘peningkatan yang perlahan namun stabil, sebaliknya penurunan yang cepat dan ketara’, lazimnya apabila pasaran dipaksa untuk menyesuai dengan jangkaan pada masa sebenar,” katanya kepada Bernama.
Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, kontrak bagi serahan Oktober 2025 susut kepada AS$4,005.80 per auns troy daripada AS$4,074.10 pada Jumaat minggu lepas, November 2025 turun kepada AS$4,022 per auns troy daripada AS$4,090.80 manakala Disember 2025 berkurangan kepada AS$4,039.30 per auns troy daripada AS$4,107.40 minggu lepas.
Januari 2026 pula menguncup kepada AS$4,056.30 per auns troy daripada AS$4,124.40 pada Jumaat lepas manakala Februari 2026, April 2026 dan Jun 2026 masing-masing susut kepada AS$4,072.20 per auns troy daripada AS$4,140.30.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 1,953 lot daripada 1,798 lot pada minggu lepas manakala kepentingan terbuka turun kepada 300 kontrak daripada 346 kontrak.
Harga emas fizikal pula pada AS$3,994.15 per auns troy berdasarkan penetapan petang oleh Persatuan Pasaran Jongkong London pada 30 Oktober, 2025.- Bernama