SIBU: 79 pegawai perubatan di seluruh Malaysia yang diberi kontrak 6 bulan kini boleh memohon untuk melanjutkan kontrak atau ke jawatan tetap, kata Pengerusi Biro Pendidikan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Ding Kuong Hiing.
Ding berkata, perincian mengenai mekanisme untuk permohonan lanjutan kontrak tersebut akan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada masa akan datang.
“Perkara itu adalah salah satu perjanjian yang dicapai menerusi perjumpaan antara Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dengan KKM di Kuala Lumpur pada 2 Julai lalu.
“MMA diyakinkan oleh KKM bahawa penyelesaian sedang dibuat dengan cadangan MMA sedang dipertimbangkan.
“Kontrak lanjutan ini hanya ditujukan untuk pegawai perubatan yang berusaha untuk menjadi doktor pakar dan mereka akan terikat dengan KKM,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Khidmat SUPP Cawangan Dudong di Jalan Lanang di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi SUPP Dudong, Wong Ching Yong, ahli MMA Cawangan Sibu, Dr. Wong Chya Wei, Ketua Pemuda SUPP Dudong, Benjamin Tian dan Setiausaha Politik Ketua Menteri, Teng Ung Woo.
Bagaimanpun, kata Ding, Biro Pendidikan SUPP sangat kecewa karena tidak mendengar berita mengenai permintaan berhubung keutamaan yang harus diberikan untuk menempatkan pegawai perubatan dari Sarawak dan Sabah ke hospital di negeri asalnya.
“Biro Pendidikan SUPP dengan ini menggesa semua Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak untuk terus memperjuangkan permintaan yang munasabah ini selaras dengan ‘Borneonisation’ yang ditetapkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Menurutnya lagi, Biro Pendidikan SUPP bagi pihak ibu bapa pegawai perubatan yang diberi kontrak 6 bulan, juga telah menyampaikan surat rayuan umum kepada Perdana Menteri dan 222 anggota Parlimen.
Katanya, permintaan utama yang dinyatakan dalam surat rayuan tersebut adalah seperti menawarkan jawatan tetap atau 10 tahun kontrak kepada 79 pegawai perubatan tersebut.
“Kita juga memohon supaya menaikkan gaji sedia ada untuk pegawai perubatan kontrak dari skala UD41 kepada UD43.
“Meminta KKM untuk melibatkan pegawai perubatan dalam kontrak yang berhasrat mengikuti program pakar atau kursus pascasiswazah dengan kontrak jangka panjang atau biasiswa program sarjana yang akan menjadikan mereka sebagai pakar perubatan,” katanya.