Kontinjen Sabah dan Labuan tiba di Kuching, sertai Bornes Games 2025

Facebook
WhatsApp
KETIBAAN kontinjen dari Sabah dan Labuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching petang tadi bagi menyertai Borneo Games Kuching (BGK) 2025. Foto UKAS

KUCHING: Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching meriah dengan ketibaan kontinjen dari Sabah dan Labuan petang tadi bagi menyertai Borneo Games Kuching (BGK) 2025.

Ketibaan kontinjen tersebut disambut dengan penuh mesra oleh jawatankuasa penganjur serta wakil-wakil dari Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak.

Seramai 74 atlet dan pegawai dari Sabah serta 14 wakil dari Labuan tiba terlebih dahulu.

KETIBAAN kontinjen dari Sabah dan Labuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching petang tadi bagi menyertai Borneo Games Kuching (BGK) 2025. Foto UKAS

Ketibaan kontinjen bersambung pada 23 September dengan kehadiran tambahan seramai 16 orang dari Sabah dan 38 dari Labuan diikuti 12 lagi wakil Labuan pada 24 September nanti.

Secara keseluruhannya, kontinjen Sabah diwakili oleh 90 atlet, jurulatih dan pegawai manakala kontinjen Labuan hadir dengan kekuatan seramai 67 orang bagi edisi kali ini.

Kontinjen Sabah dan Labuan bakal mengambil bahagian dalam pelbagai acara sukan termasuk olahraga, renang, bola sepak, badminton, bola jaring serta sukan tradisional Borneo.

Penyertaan mereka bukan sahaja bertujuan meraih pingat, malah untuk memperkukuh hubungan persaudaraan dan semangat kesukanan antara wilayah di Borneo.

BGK 2025 bermula minggu ini menghimpunkan atlet dari Sarawak, Sabah, Labuan dan Brunei Darussalam menjadikan ia platform penting bagi pembangunan bakat baharu serta mengukuhkan kerjasama serantau dalam bidang sukan.

-UKAS