KUCHING: Kontinjen Para Sarawak kini berada pada fasa akhir persiapan menjelang Temasya para sukma XXII Selangor 2026 dengan sasaran utama mempertahankan gelaran juara keseluruhan yang dimenangi pada edisi lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, segala persiapan kontinjen berjalan mengikut perancangan bagi memastikan atlet Sarawak berada pada tahap terbaik apabila temasya bermula.
Beliau berkata, kontinjen para Sarawak akan diwakili oleh 315 atlet dan pegawai, manakala keseluruhan kontinjen berjumlah 383 orang termasuk pegawai perubatan, ahli fisioterapi, ahli psikologi sukan, jururawat, pegawai sokongan dan pegawai perhubungan.

Menurutnya, kesemua 383 anggota kontinjen itu perlu bergerak sebagai satu pasukan dengan semangat yang sama demi mencapai sasaran membawa pulang lebih banyak pingat emas untuk Sarawak.
“Kita bukan 383 individu yang bergerak secara berasingan, sebaliknya satu kontinjen, satu pasukan, satu semangat, satu perjuangan dan satu sasaran, iaitu emas untuk Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kem Motivasi Kontinjen Para Sarawak dan Program Hitung Detik 32 Hari Menjelang Temasya para sukma XXII Selangor 2026 di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Dr Mohammad Razi berkata, lawatan kerja ke Sekretariat para sukma Selangor sebelum ini bertujuan memastikan penyelarasan operasi antara kontinjen Sarawak dengan pihak penganjur berjalan lancar, khususnya membabitkan aspek penginapan, venue pertandingan, aksesibiliti, pengangkutan dan penyampaian maklumat.
Katanya, Geno Hotel akan dijadikan pusat operasi rasmi kontinjen para Sarawak sepanjang temasya berlangsung, manakala lawatan ke venue pertandingan memberi peluang kepada kontinjen menilai sendiri kemudahan serta laluan pergerakan atlet.
Beliau berkata, pihaknya turut mengadakan kunjungan ke Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bagi membincangkan aspek keselamatan, kelancaran trafik serta penyelarasan pergerakan rasmi kontinjen.
Menurutnya, kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat penting memandangkan kontinjen Sarawak yang besar akan bergerak ke pelbagai venue pertandingan, termasuk melibatkan atlet yang memerlukan kemudahan dan perhatian khusus.

Selain itu, katanya, lawatan ke Prasarana Malaysia Berhad diadakan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai sistem pengangkutan awam yang inklusif serta mesra orang kurang upaya (OKU) bagi memastikan atlet dapat bergerak dengan selamat, selesa dan bermaruah.
Mengulas sasaran kontinjen, Dr Mohammad Razi berkata, Sarawak hadir ke Selangor bukan sekadar sebagai peserta, sebaliknya sebagai juara bertahan yang bertekad mempertahankan kejuaraan keseluruhan.
“Kejayaan muncul juara keseluruhan pada para sukma 2024 dengan kutipan 82 pingat emas, 53 perak dan 74 gangsa perlu dijadikan pembakar semangat untuk mencipta satu lagi sejarah gemilang,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua atlet, jurulatih dan pegawai memanfaatkan baki tempoh persiapan dengan memperkukuh aspek teknikal, fizikal dan mental, di samping mengekalkan disiplin yang tinggi agar Kontinjen Para Sarawak terus mengharumkan nama Bumi Kenyalang serta membawa pulang kejayaan membanggakan pada Temasya para sukma XXII Selangor 2026.
Oleh Adi Safarman





