

TAHNIAH… Antara pemenang olahraga pada hari ketiga Borneo Games Kuching (BGK) 2025.
PETRA JAYA: Kontinjen olahraga Sarawak mengekalkan prestasi cemerlang dan terus menguasai pentas olahraga apabila menuai empat pingat emas, tiga perak dan dua gangsa pada hari ketiga Borneo Games Kuching (BGK) 2025 selaku tuan rumah.
Atlet Sarawak, Mohamad Farish Yazid Mohamad memastikan pingat emas dalam acara 5,000 meter Jalan Kaki Lelaki dengan catatan masa 27 minit 21.39 saat.
Pingat perak turut diraih rakan sepasukan, Muhammad Niq Aizad Mohammad dengan masa 28:31.88 saat manakala gangsa milik Eldysean Luyoh Edwin dengan masa 30:17.56 saat.
Sementara itu, acara Lontar Peluru Wanita menyaksikan sapu bersih podium oleh atlet Sarawak apabila Voon Pei Ling muncul juara dengan lontaran sejauh 11.27 meter sekali gus merangkul emas.
Ng Jin Jun pula meraih perak dengan lontaran 10.91 meter, manakala gangsa milik Tiffanny Corrent Berain dengan catatan 10.63 meter.

Dalam acara 800 meter Wanita, pingat emas menjadi milik atlet Sabah, Hizillawanty Jamain yang mencatat masa 2:18.20 minit.
Atlet Sarawak, Clezendra Chanda Cevester Empari, membawa pulang perak dengan masa 2:27.35 minit, manakala gangsa disumbangkan oleh Catherine Indun Beji dengan catatan 2:34.63 minit.
Bagi acara 800 meter Lelaki, pingat emas dirangkul atlet Sarawak, Danial Hakim Mohammed Omar dengan catatan 1:58.55 minit.
Pingat perak dimenangi atlet Labuan, Mohammad Nafiq Hussin dengan masa 1:59.24 minit manakala gangsa milik atlet Brunei, Kasyful Asymawi Khairul dengan catatan 1:59.33 minit.
Dalam acara Rejam Lembing Lelaki, Sarawak sekali lagi menguasai podium apabila Freddy Ato menghadiahkan pingat emas dengan lontaran sejauh 50.45 meter.
Pingat perak turut disumbangkan rakan sepasukan, Desmond Jong Wei Xiong dengan catatan 49.97 meter, manakala gangsa milik Bronster Henry dengan lontaran 45.71 meter.
Pencapaian itu mengukuhkan lagi dominasi Sarawak dalam acara balapan dan padang serta mengekalkan kedudukan sebagai peneraju carta pungutan pingat olahraga pada hari ketiga BGK 2025.
Oleh Shikin Mahmud