
SIBU: Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching yang baharu, Abdullah Zulkifli bertekad untuk memperkukuh hubungan dua hala Indonesia–Sarawak merangkumi perdagangan, pelaburan, pendidikan dan kebajikan tenaga kerja.
Menurutnya, keutamaan ini bukan sahaja berpaksikan kedekatan geografi, tetapi turut berakar daripada hubungan sejarah, sosial dan kekeluargaan yang telah lama terjalin antara kedua-dua pihak.
“Sarawak dan Indonesia berkongsi lebih 1,000 kilometer sempadan darat yang menghubungkan negeri ini dengan Kalimantan Barat, Tengah dan Utara. Garisan sempadan ini bukan sekadar pada peta, tetapi mewakili komuniti yang berkongsi bahasa, tradisi dan akar keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri pertemuan bersama komuniti perniagaan dan akademik pada majlis makan malam di salah sebuah hotel terkemuka, di sini malam tadi.
Abdullah yang tiba di Kuching pada 27 September lalu berkata, hubungan ekonomi antara Indonesia dan Sarawak terus menunjukkan perkembangan positif dengan nilai perdagangan pada tahun 2024 melebihi AS$1 bilion tidak termasuk eksport tenaga elektrik Sarawak ke Kalimantan.
“Pelaburan dari Sarawak ke Indonesia juga meningkat secara stabil mencerminkan tahap kepercayaan bersama dan peluang yang semakin luas.
“Antara pelaburan ketara termasuk projek pemprosesan bauksit di Kalimantan Barat bernilai lebih RM1 bilion serta pegangan 25 peratus oleh Sarawak Energy Berhad dalam Projek Janakuasa Hidro di Kalimantan Utara,” ujarnya.
Abdullah menyifatkan kerjasama tersebut sebagai bukti bahawa kedua-dua pihak saling melengkapi dan mendapat manfaat daripada kekuatan masing-masing.
Menyentuh tentang pemindahan ibu kota Indonesia ke Nusantara, Kalimantan Timur, beliau memberitahu, ia bakal mengubah landskap ekonomi dan geopolitik di pulau Borneo.
“Pembangunan besar ini telah menarik minat kerajaan serta komuniti perniagaan Sarawak. Tiga bulan lalu, Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengetuai delegasi perniagaan ke Nusantara, manakala Premier Sarawak juga menunjukkan minat untuk membuka laluan penerbangan terus antara Kuching dan Balikpapan melalui Air Borneo,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu akan membantu memperkukuh hubungan ekonomi dan mobiliti rakyat antara kedua-dua wilayah.
Abdullah turut menegaskan bahawa aspek kebajikan dan perlindungan pekerja migran Indonesia di Sarawak menjadi antara keutamaan utamanya.
“Kira-kira 70 peratus daripada ribuan pekerja Indonesia di Sarawak bekerja dalam sektor perladangan kelapa sawit, dan sumbangan mereka amat penting kepada pertumbuhan ekonomi negeri tersebut.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada syarikat seperti Mafrica, Taan Group, Rimbunan Hijau Sawit, Empire Plantation dan lain-lain atas komitmen mereka memberi layanan adil, perlindungan sewajarnya dan keadaan kerja yang baik kepada pekerja Indonesia,” ujarnya.
Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching, katanya, akan terus bekerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan bagi memastikan pekerja Indonesia kekal selamat, bermotivasi dan produktif.
“Apabila pekerja dilayan dengan bermaruah, ekonomi dan masyarakat kedua-dua pihak akan berkembang maju bersama,” tambahnya.
Selain sektor ekonomi dan tenaga kerja, Abdullah turut menekankan kepentingan hubungan antara rakyat serta kerjasama dalam bidang budaya dan pendidikan.
Katanya, ramai pelajar Indonesia kini menuntut di institusi pengajian tinggi di Sarawak termasuk Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan kerjasama sedemikian penting untuk memupuk persefahaman serta persahabatan jangka panjang dalam kalangan generasi muda.
“Saya percaya masih banyak potensi belum diterokai dalam memperkukuh hubungan Indonesia–Sarawak, khususnya di bandar seperti Sibu yang berperanan sebagai hab komersial dan budaya,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa bidang seperti pembuatan, pemprosesan makanan, tenaga boleh diperbaharui dan pendidikan membuka ruang besar untuk manfaat bersama.
Oleh Akun Giman