Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Konsert Spider Unplugged tampil sisi lebih intim, format akustik
  • HIBURAN

Konsert Spider Unplugged tampil sisi lebih intim, format akustik

Utusan Sarawak 13 hours ago
KUMPULAN rock popular tanah air, Spider yang dianggotai vokalis, Tam (tengah), pemain dram Aie (tiga, kanan), gitaris Pown (kanan) dan pemain bes Iss dua, kiri) bergambar selepas pelancaran konsert Spider Unplugged yang dijadual berlangsung di Mega Star Arena pada 25 Oktober depan. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR:  Selama hampir tiga dekad dalam industri muzik, kumpulan rock  Spider yang dikenali dengan gabungan muzik ska, terus releven sehingga ke hari ini selain turut berjaya menarik peminat baharu meskipun gelombang popularitinya pernah surut seketika.

Menghargai kesetiaan peminatnya yang terus bersama mereka hampir 30 tahun, kumpulan legenda ini bakal menggegarkan pentas dengan sisi berbeza daripada sebelum ini menerusi konsert Spider Unplugged, sebuah persembahan istimewa yang jarang dipraktikkan dalam kalangan band rock khususnya di negara ini. 

Bakal berlangsung di Mega Star Arena pada 25 Oktober depan, vokalisnya, Rustam Mustafah atau lebih dikenali sebagai Tam berkata konsert unplugged dalam format akustik itu merupakan antara impian yang sudah lama dihasratkan, akan menampilkan susunan muzik lebih intim, dinamik dan bertenaga.

PENYANYI kumpulan Spider, Tam (empat, kiri) bercakap ketika sidang media selepas pelancaran konsert Spider Unplugged yang dijadual berlangsung di Mega Star Arena pada 25 Oktober depan. foto BERNAMA

“Ia agak mencabar kerana unplugged biasanya dipersembahkan dalam bentuk showcase tapi kali ini, kita buat dalam konsert besar. …mungkin ada lagu yang diolah semula dalam gaya joget, inang atau dimainkan perlahan dengan iringan gendang.

“Kita juga akan gunakan elemen string, brass dan percussion daripada pemuzik jemputan untuk mempelbagaikan persembahan. Selalunya konsert unplugged, duduk-duduk pun dah cukup tapi kali ini, kami bawa ke skala lebih proper sebagai satu konsert penuh kepada penonton,” katanya pada sidang media selepas pelancaran konsert itu baru-baru ini.

Popular dengan lagu seperti Phobia, Aladin, Relaku Pujuk, Kasih Latifah, Cinta Dewa Dewi dan Nazraku, Spider kini dianggotai Tam (vokal), Aie (dram) serta dua anggota baharu, Iss (bass) dan Pown (gitar), menggantikan Tony dan Napie yang masing-masing meninggal dunia pada 2021 dan 2024.

KUMPULAN rock popular tanah air, Spider (dari kiri) pemain bes Iss, vokalis Tam, pemain dram Aie dan gitaris Pown bergambar selepas pelancaran konsert Spider Unplugged yang dijadual berlangsung di Mega Star Arena pada 25 Oktober depan. foto BERNAMA

Mengakui kehilangan dua anggota asal itu begitu memberi kesan mendalam terhadap dinamika kumpulan ini, namun begitu, Tam percaya akan keupayaan anggota baharu Spider mampu menggalas peranan tersebut dengan sebaiknya. 

“Kesedihan itu tetap ada, tapi kita ambil semangat arwah dan teruskan perjuangan. Saya percaya dengan dua player (Iss dan Pown) baharu ini… mereka ada sentuhan tersendiri. Konsert ini juga akan menjadi ruang menarik generasi baharu yang mungkin mengenali Spider melalui radio atau media sosial.

“Kami nak tarik peminat generasi muda. Mungkin mereka kenal lagu tapi belum pernah tonton Spider secara langsung. Ini peluang untuk mereka alami sendiri muzik kami dalam bentuk paling jujur,” katanya sambil menambah konsert itu dianjurkan Naga Legend Entertainment.

Mengenai perancangan masa depan, Tam mengimpikan konsert bersama orkestra dan siri jelajah ke kawasan pedalaman serta institusi pengajian tinggi sebagai inisiatif memperluaskan capaian muzik Spider kepada khalayak pelbagai, bersempena ulang tahun Spider ke-30 tahun depan.

PENYANYI kumpulan Spider, Tam bercakap ketika sidang media selepas pelancaran konsert Spider Unplugged yang dijadual berlangsung di Mega Star Arena pada 25 Oktober depan. Foto BERNAMA

“Kami dah lama simpan hasrat nak bawa muzik Spider ke luar bandar dan universiti, bukan sekadar konsert tapi sesi perkongsian ilmu. Kami percaya muzik bukan sekadar hiburan kerana ia mempunyai nilai budaya dan pengajaran,” katanya.

Sementara itu, wakil penganjur Naga Legend Entertainment Fandy Alias berkata Spider dipilih kerana muzik mereka yang kekal relevan dan berpotensi untuk diteroka dalam pendekatan baharu yang lebih segar.

“Walaupun banyak konsert dianjurkan kebelakangan ini, Spider Unplugged pasti beri pengalaman berbeza. Kita dah lama tak ada konsert unplugged berskala besar seperti ini. Siapa yang tak datang, pasti rugi,” katanya.

Tiket dijual pada harga RM198 hingga RM388 dan boleh didapati menerusi laman web www.ilassotickets.com/spiderunplugged.–  Bernama

Continue Reading

Previous: Nora Ariffin kembali dengan karya penuh emosi, Sudah Tertulis
Next: Isu saman: Fazura serah kepada peguam

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.