
KUALA LUMPUR: Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) menjanjikan persembahan memukau, khas buat peminat muzik tradisional tempatan, menerusi konsert Simfoni II yang dijadualkan pada 5 Julai depan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di sini.
Dalam satu kenyataan hari ini, MPO berkata konsert itu merupakan lanjutan kejayaan konsert Simfoni Budaya I tahun lepas yang mengangkat irama keroncong dan ghazal ke peringkat lebih tinggi melalui gubahan orkestra menampilkan Datuk Yusni Hamid, Asmidar dan Haziq Rosebi.
Konsert Simfoni Budaya II bakal dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose dan menyaksikan rangkuman tradisi dan muzik yang harmoni dalam satu keraian budaya yang gemilang.
“Nikmati keindahan irama joget, asli and zapin bergabung dengan keunggulan muzik MPO melalui karya malar segar seperti Dikirim Jangan Dipesan Jangan, Mas Merah, Fatwa Pujangga, Nirmala, Tudung Periuk, Simfoni Bunga Tanjung, Joget Burung Merpati, Makan Sireh, Joget Wan Lebor dan Mak Inang Kayangan,” menurut kenyataan itu.
Kesemua lagu tersebut bakal digubah untuk persembahan orkestra oleh Luqman Aziz, Ilham Subri, Azhad Sulaiman, Teuku Umar dan Shahakam Mokhtar.
Konsert itu akan dibarisi gabungan artis-artis veteran dan generasi baharu termasuk bintang legenda Datuk Andre Goh yang telah mempersonakan negara dengan kebolehan menyanyikan lagu Melayu asli dalam pertandingan Bakat TV 1972.
“Beliau telah membuat persembahan di serata istana negeri dan negara-negara Asia. Jasa bakti beliau selama lima dekad melayakkan beliau dianugerahi Darjah Mulia Seri Melaka pada 2011 yang membawa gelaran Datuk.
“Konsert ini merupakan penampilan kedua beliau di pentas DFP selepas konsert Malam Melayu Klasik bersama-sama dengan Badan Yayasan Warisan Johor pada 2013,” menurut kenyataan itu.
Tiket berharga RM179 hingga RM449 boleh dibeli melalui tempahan telefon di 03-23317007, e-mel boxoffice@dfp.com.my atau laman web MPO di www.mpo.com.my.
-Bernama