KUCHING: Konsert Orkestra Kamar Harapan Baharu AZES WAO menyediakan platform unik untuk memupuk perpaduan melalui seni muzik.
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, konsert itu disifatkan sebagai salah satu lambang kerjasama global melalui seni muzik.
”Dalam dunia yang berhadapan cabaran seperti perpecahan sosial, ketidaksamaan dan isu alam sekitar, acara seperti ini mengingatkan kita untuk menangani perkara ini dengan empati dan kreativiti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang semasa Konsert Okestra Kamar Harapan Baru AZES WAO di Universiti Swinburne Kampus Sarawak di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, beliau pada masa sama, memuji usaha para sukarelawan muda ASEZ WAO dan SSWOW dalam pelaksanaan misi kemanusiaan dan pemuliharaan alam sekitar.
”Saya berharap konsert ini berfungsi sebagai peringatan bahawa walaupun dalam masa yang tidak menentu ini, kita sentiasa mempunyai sebab dan harapan atau jalan ke arah masa depan yang lebih baik,” tambahnya.
Konsert itu diadakan di pelbagai lokasi di seluruh negara, termasuk di Universiti Swinburne Kampus Sarawak yang berjaya menghimpunkan lebih daripada 300 orang hadirin.
Keunikan acara ini turut dimeriahkan dengan pengalaman budaya seperti permainan tradisional Korea serta peluang mencuba pakaian tradisional hanbok.
Selain persembahan muzik, inisiatif alam sekitar yang dipamerkan dalam acara ini mencerminkan komitmen ASEZ WAO terhadap kemampanan.