Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Konsert Legasi P. Ramlee ditunda ke 2026
  • HIBURAN

Konsert Legasi P. Ramlee ditunda ke 2026

Utusan Sarawak 1 day ago

KUALA LUMPUR: Konsert Legasi P. Ramlee yang dijadualkan berlangsung pada 20 September depan di Mega Star Arena di sini, ditangguhkan ke tahun depan.

Penganjur konsert TanahAir Films menerusi Pengarah Eksekutifnya Datuk Khairul Anwar Salleh berkata penundaan tarikh itu dibuat bagi memberi ruang kepada penganjuran berskala nasional yang lebih inklusif, berimpak tinggi dan mampu diraikan oleh lebih ramai pencinta seni tanah air.

“Kami tidak lagi melihat Konsert Legasi P. Ramlee sebagai sekadar persembahan satu malam, tetapi sebagai titik tolak untuk membina jenama budaya nasional yang mampan. 

“Dengan barisan pemuzik orkestra, artis terkemuka dan sokongan industri kreatif, langkah ini membolehkan kami memperluas pengaruh dan ruang kepada penglibatan masyarakat dan rakan korporat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Anwar berkata pendekatan berkonsepkan festival itu membuka peluang lebih strategik untuk penyertaan jenama dan penaja, termasuk pengaktifan kreatif, penyertaan sosial dan penyebaran mesej nasional bersifat menyeluruh.

Dalam kenyataan sama, Pengarah Kreatif Festival Adlin Aman Ramlie berkata dari pentas konsert ke medan seni budaya, festival tersebut memberi ruang kepada mereka untuk membawa semula roh dan semangat P. Ramlee dalam pelbagai dimensi.

“Saya melihat peluang ini untuk memperluaskan maksud legasi itu sendiri. Tan Sri P. Ramlee bukan sekadar seniman, beliau mewakili nilai, semangat zaman, suara bangsa dan pemikir zaman yang berani menyentuh isu, nilai dan rasa. 

“Pendekatan baharu ini akan menjadikan legasi beliau lebih dekat dengan generasi masa kini,” katanya yang juga seorang daripada peneraju Projek Perdana P. Ramlee.

Menurut kenyataan itu, pihak Ticket2U akan menghubungi mereka yang telah membeli tiket konsert tersebut dalam tempoh tiga minggu lagi untuk menguruskan penukaran tarikh, pilihan naik taraf atau bayaran balik. — Bernama

Continue Reading

Previous: Aina Abdul, Ernie Zakri dan Dayang Nurfaizah dominasi pencalonan AIM 24
Next: Afif Tenor lancar single Di Bawah Langit Kuching

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.