
KUALA LUMPUR: Kejayaan Konsert 20 Tahun Inteam secara dalam talian ketika pandemik COVID-19 pada 2020 menjadi pencetus kepada penganjuran Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun, yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 27 September depan.
Bagi Inteam, dianggotai oleh Muhammad Hazamin Harun, Mohd Syahril Abdul Khalid, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman, konsert itu merupakan penghargaan buat peminat yang setia menyokong mereka selama lebih dua dekad dalam industri muzik nasyid tanah air.
Mewakili kumpulan itu, Muhammad Hazamin berkata konsert tersebut mencatat kejayaan awal apabila tiket habis dijual hanya dalam tempoh dua jam selepas kaunter dibuka pada 22 Mei lepas.
“Alhamdulillah, kami sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang menyokong. Pada mulanya kami tidak menyangka sambutan akan sehebat itu, tetapi apabila beberapa video termasuk parodi Inteam mula tular beberapa hari sebelum jualan dibuka, kami dapat agak tiket akan cepat habis dan ternyata benar.
“Insya-Allah, kami sedang mengusahakan untuk menganjurkan konsert pada hari kedua dan kini dalam perbincangan dengan pihak pengurusan lokasi. Perkembangan lanjut akan dimaklumkan kelak,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya, sebanyak 25 buah lagu akan dipersembahkan, dipilih daripada lebih 150 karya mereka berdasarkan tiga tema utama, iaitu Cinta Ilahi, Sayang Nabi dan Kasih Insani.
“Lagu-lagu ini bukan sahaja hit dan popular, tetapi juga mengandungi nilai sentimental dan nostalgia. Susunan muzik pula diberi nafas baharu dengan iringan band profesional dan kuartet gesekan, agar pengalaman konsert ini menjadi lebih matang dan menyentuh emosi penonton,” katanya.
Lebih istimewa katanya, konsert itu bakal menampilkan anak-anak Allahyarham Suhaimi Saad yang juga bekas ahli kumpulan Inteam, selain beberapa kejutan eksklusif yang masih dirahsiakan.
“Konsert ini adalah ruang untuk kami meraikan bukan sahaja peminat, tetapi juga semua yang selama ini berada di belakang tabir, membantu menaikkan nama Inteam. Kami mahu bawa peminat kembali ke zaman mereka membesar dengan lagu-lagu kami.
“Kami juga tidak melupakan kelab peminat rasmi, Komuniti Teman Inteam yang berterusan memberi sokongan walaupun ramai ahlinya kini sudah berkeluarga. Sokongan ini sangat kami hargai,” katanya
Seiring perubahan dalam industri, beliau berkata Inteam juga aktif bekerjasama dengan artis generasi baharu seperti Khai Bahar, Sufian Suhaimi, Aliff Satar dan Naim Daniel, termasuk menghasilkan semula lagu-lagu lama dengan sentuhan moden.
“Usai konsert, Inteam turut merancang melancarkan beberapa single serta kolaborasi baharu di samping menerbitkan kompilasi lagu terbaik dalam bentuk pemacu kilat edisi khas konsert,” katanya
Ditanya tentang masa depan nasyid, Muhammad Hazamin optimis genre nasyid kekal relevan, namun memerlukan promosi dan strategi pemasaran yang lebih dinamik agar terus mendapat tempat dalam arus perdana.
“Setiap tahun ratusan lagu nasyid baharu diterbitkan cumanya industri ini perlukan ruang dan perhatian yang seimbang agar tidak tenggelam dalam ledakan genre lain,” katanya.
Sejak ditubuhkan pada 2000, kumpulan ini telah mengukir nama di pentas antarabangsa, termasuk membuat persembahan di Kanada, Amerika Syarikat, United Kingdom, Yaman, Mesir, Abu Dhabi, China dan Australia.
“Antara momen paling bermakna ialah ketika kami membuat persembahan di depan lebih 10,000 penonton Muslim di Toronto, Kanada, sekali gus menjadi bukti bahawa nasyid Malaysia mampu menembusi pentas dunia,” katanya.– Bernama