

KUALA LUMPUR: Lima artis terkenal dari Malaysia dan Indonesia bakal berkongsi pentas menerusi Konsert Healing Night 2026 di Stadium Merdeka di sini pada 24 Jan depan.
Menampilkan barisan artis seperti Anuar Zain, Ella, Dayang Nurfaizah, Lyodra dan Kangen Band, konsert berskala besar itu mengetengahkan muzik sebagai terapi penyembuhan selain menjadi wadah penyatuan budaya serantau.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata penganjuran konsert itu sebagai platform penyatuan serantau membawa mesej perpaduan dan harapan kepada masyarakat sambil menikmati persembahan bertaraf antarabangsa.
“Ini amat bertepatan dengan usaha negara untuk melaksanakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026). Acara silang budaya seperti ini bukan sahaja memeriahkan industri pelancongan tetapi turut menonjolkan keunikan Malaysia sebagai destinasi yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan nilai kemanusiaan,” katanya ketika berucap melancarkan konsert berkenaan baru-baru ini.
Konsert Healing Night 2026 merupakan acara julung kali yang dianjurkan oleh tiga syarikat bumiputera tempatan, iaitu Kembar Nusantara Sdn Bhd, Creative Pitch Sdn Bhd dan Yumeca Sdn Bhd.
Shaharuddin berkata tema “healing” atau penyembuhan, menjadikan konsert itu istimewa kerana membawa mesej yang amat relevan bahawa muzik, seni dan persamaan manusia mampu menjadi medium penyembuhan, kebangkitan dan kekuatan untuk melangkah ke depan.
“Pendekatan holistik yang diterapkan melalui aktiviti berinspirasikan kesejahteraan di Healing Tents dan Rehabilitation Zones menyerlahkan nilai empati serta semangat positif yang amat diperlukan masyarakat masa kini.
“Semoga Konsert Healing Night 2026 menjadi pemangkin kepada pembangunan seni dan budaya yang terus mengharumkan nama Malaysia bersempena dengan TMM2026,” katanya.
Beliau berkata kementerian itu berbangga dapat menyokong inisiatif syarikat kreatif tempatan yang menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan konsert berkenaan, sekali gus membuktikan kemampuan penggiat industri tempatan dalam menerajui acara bertaraf dunia serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab industri kreatif serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif Yumeca Sdn Bhd Herman Aziz berkata tema “healing” yang dipilih bagi konsert berkenaan bertujuan memperlihatkan sisi positif hiburan sebagai saluran pemulihan emosi dan kesejahteraan masyarakat.
“Selepas pandemik, kita melihat masyarakat dunia melalui fasa pemulihan atau ‘healing’ dengan pelbagai cara…dan antara yang kami sifatkan sebagai fasa pemulihan ini ialah melalui terapi muzik.
“Konsert Healing Night 2026 bukan sekadar konsert, tetapi sebuah pesta atau keraian untuk menikmati muzik sebagai satu proses terapeutik yang menyenangkan. Lebih menarik, ia menghimpunkan tenaga penghibur dan pasukan produksi yang ikonik di lokasi bersejarah,” katanya.
Menurutnya, tema itu diterjemahkan secara menyeluruh meliputi persembahan muzik, reka bentuk pentas, suasana konsert serta aktiviti berinspirasikan kesejahteraan seperti Healing Tents dan Relaxation Zones untuk penonton.
Tiket konsert dijual pada harga bermula RM190 dan boleh dibeli secara dalam talian di www.ticket2u.com.my – Bernama