
KUALA LUMPUR: Setelah hampir dua dekad mewarnai industri muzik, kumpulan popular Indonesia Dadali bakal menggegarkan pentas hiburan tempatan menerusi konsert ‘Sebuah Kisah Volume 1’ yang dijadualkan pada 5 Julai ini.
Vokalisnya Dyrga menyifatkan konsert yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu sebagai doa yang termakbul dan berjanji akan menyajikan persembahan terbaik buat peminat yang hadir.
Beliau berkata mereka akan mempersembahkan kira-kira 20 buah lagu termasuk beberapa lagu nyanyian artis Malaysia di sepanjang konsert yang dijangka berlangsung selama dua jam.
“Pemilihan lagu pasti antara yang terbaik dan kami akan gabung dengan lagu dari negara ini. Nanti akan ada lagu medley juga,” katanya pada sidang media konsert itu, di sini pada Rabu.
Menurut pemenang tempat keempat Gegar Vaganza ke-11 itu lagi, konsert tersebut bukan sekadar persembahan biasa, tetapi simbol kebangkitan semula kumpulan selepas melalui fasa duka dan hampir rebah dalam industri muzik apabila kehilangan dua ahli asalnya ketika wabak COVID-19, iaitu Yuda dan Rix.
“Teman (dalam) band itu berbeza dengan teman kerja biasa. Kami susah senang bersama. Boleh dikatakan setengah hati saya sudah mati mahu meneruskan band ini… Kebanyakan lagu Dadali ciptaan saya dengan Yuda. Apabila allahyarham Yuda meninggal, saya seperti (kehilangan) satu kaki… tanpa dia (Yuda) saya tidak bisa buat lirik.
“Saya pernah hampir berputus asa dan mahu membubarkan kumpulan ini setelah kehilangan mereka, bagaimanapun Rickjard yang merupakan pemain gitar melodi asal kumpulan ini memujuk dan bertegas bahawa kami harus terus memperjuangkan band ini sehingga nafas terakhir kami,” katanya.
Menurutnya lagi, arwah Yuda sempat menitipkan pesanan terakhir agar tempatnya digantikan dengan Boim (pemain gitar) selain Obot (pemain dram).
“Sebelum Yuda meninggal, dia sempat banyak berkata ‘Dyrga, gantikan aku dengan Boim’ dan bila ditanya, jawabnya ‘Aku mahu istirahat’. Alhamdulillah saya dapat kabulkan permintaannya,” kata Dyrga, menambah mereka juga memperkenalkan Dendi sebagai pemain keyboard baharu mengisi tempat allahyarham Rix dan Hendy selaku pemain gitar bes.
Beliau berkata konsert itu akan turut menampilkan persembahan istimewa Ronnie Hussein, iaitu bekas vokalis kumpulan Hyper Act.
Untuk tiket, tempahan boleh dibuat di myticketempire.com dengan harga bermula dari RM188 hingga RM588.– Bernama