
KUALA LUMPUR: Konsert ulang tahun “Al-Kisah Kugiran MASDO 10 Tahun” yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada Ahad lepas berjaya memukau ribuan peminat dengan persembahan penuh tenaga dan nostalgia, menjadikan malam itu sebagai sebuah pesta muzik yang sukar dilupakan.
Membawakan lebih 20 lagu hit, konsert berlangsung dengan pantas, diiringi muzik rancak dan disulami pelbagai kejutan, menghiburkan penonton yang rata-rata hadir berpakaian mengikut tema retro lengkap dengan flare pants dan kemeja bercorak bunga, menghidupkan era 60-an dan 70-an.
Konsert dibuka tepat pada 8.30 malam dengan lagu ikonik Teruna dan Dara yang serta-merta disambut tepukan gemuruh peminat kumpulan dianggotai Ali Sariah, Putuceri dan Asmawi itu sambil berdansa mengikut rentak muzik rancak.
Setiap bait lirik dinyanyikan bersama-sama oleh ribuan peminat setia yang ternyata mengingati hampir kesemua lagu MASDO, menambah kemeriahan pesta.
“Selamat datang ke kugiran MASDO 10 tahun. Terima kasih datang dari jauh dan dekat. Alhamdulillah, pejam celik MASDO dah masuk tahun ke-10. Terima kasih buat semua yang sokong, sebab sokongan kamu semua, kami berdiri di sini hari ini,” kata vokalis Ali Sariah penuh syukur, menghargai setiap langkah sokongan peminat.
Tidak dinafikan, kekuatan konsert itu juga terletak pada susunan muzik langsung yang padat dan bertenaga, diiringi visual kreatif, seolah-olah membawa penonton menelusuri perjalanan kugiran itu sejak mula melangkah ke pentas arus perdana.
Bagi penulis, momen paling bermakna apabila ibu kepada ahli kumpulan itu masing-masing membuat kejutan dengan naik ke atas pentas sewaktu lagu Ratu Hati, meruntun emosi peminat yang hadir.
“Kalau anda nak tahu, nama Ali Sariah yang digunakan pada nama pentas ialah nama ibu saya iaitu Sariah,” kata Ali, manakala Asmawi mendedahkan ibunya merupakan seorang ’fighter’ kerana sedang berjuang dengan kanser tahap empat membuatkan suasana dewan hening seketika.
Selepas detik penuh syahdu itu, pentas kembali dibakar dengan kemunculan barisan artis jemputan yang menghadirkan magis tersendiri termasuk Fizan Bittersweet yang memukau dengan Nearly Near You dan Heidi Moru berduet lagu Pujaanku bagi melengkapkan persembahan.
Tidak terhenti di situ, peminat menjadi lebih bersemangat apabila Noh Salleh tampil membuat kejutan ketika lagu Inilah Jalannya, selain turut membawakan lagu Aku Scandal bersama kumpulan Hujan.
Jeritan penonton ketika itu hampir ‘memekakkan’ telinga dengan masing-masing berdiri, melompat dan bertepuk tangan tanpa henti, seolah-olah Zepp bertukar menjadi sebuah pesta muzik alternatif yang menyatukan generasi lama dan baharu.
Nyata gabungan dua kumpulan tersebut bukan sahaja mengujakan peminat, malah menjadikan pentas malam itu sebagai pertemuan dua era muzik indie yang berbeza namun tetap segar dan dekat di hati generasi muda.
Antara lagu dinyanyikan dalam konsert tersebut ialah Berduka Lara, Miss Flower Learns to Twists, Dinda, Bunga, Janji Manis dan Kecundang.– Bernama