BEBERAPA orang wartawan muda bertanya secara terus terang kekeliruan mereka mengenai istilah ‘sayap Bumiputera’ dan ‘sayap Pesaka’ apabila membuat liputan mengenai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Malah, sebahagian masyarakat terutama yang tidak tahu mengenai sejarah penubuhan parti PBB juga keliru kecualilah mereka membuat penyelidikan dan membaca susur-galur parti itu sejak sebelum merdeka lagi.
Apabila membicarakan mengenai sejarah parti PBB, wajib mengetahui nama tokoh seperti Tun Datuk Patinggi Tuanku Bujang Tuanku Othman yang mengasaskan Parti Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA); Allahyarham Datuk Abang Mustapha Dato Bandar, pengasas Parti Negara Sarawak (PANAS) dan mendiang Tun Temenggong Jugah Barieng yang menjadi penggerak utama bagi Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA).
Parti BARJASA ditubuhkan pada 1961, kemudian bercantum dengan parti PANAS yang ditubuhkan pada 1960, sekali gus melahirkan parti BUMIPUTERA pada 1968.
Pada 1973 parti BUMIPUTERA pula bergabung dengan parti PESAKA dan ini menjadi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu iaitu parti PBB yang ada sekarang ini.
“Tetapi di dalam parti PBB sekarang, bagaimana nak tahu pemimpin mana mewakili sayap Bumiputera dan sayap Pesaka?,” tanya seorang lagi wartawan muda.
Nak mengenalinya mudah saja – mana-mana pemimpin Melayu/Melanau dalam parti PBB, maka mereka mewakili sayap Bumiputera, manakala pemimpin Iban, Bidayuh dan Orang Ulu, mewakili sayap Pesaka.
Contoh, ada dua Timbalan Presiden PBB iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili sayap Pesaka dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, mewakili sayap Bumiputera.
Begitu juga dua pemimpin yang memegang jawatan Naib Presiden Kanan PBB iaitu Dato Sri Fadillah Yusof (Bumiputera) dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom (Pesaka).
Begitulah seterusnya di peringkat Naib Presiden dan ahli Majlis Tertinggi hinggalah ke pergerakan Wanita dan Pemuda. Jika Ketua Wanita diwakili Bumiputera (disandang Dato Sri Fatimah Abdullah), maka Ketua Pemuda hendaklah daripada sayap Pesaka (disandang Miro Simuh).
Bekas Setiausaha Agung PBB, Tan Sri Datuk Amar Leonard Linggi Jugah menjelaskan bahawa muafakat atau konsensus antara pemimpin sayap Pesaka dan Bumiputeta dalam parti PBB inilah rahsia menjadikan PBB kuat sejak berzaman.
“Ini membuatkan PBB bertahan dan sukar digugat sehingga ke hari ini,” katanya yang juga anak kepada mendiang Tun Jugah dan ayah kepada Setiausaha Agung PBB sekarang, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Menurut Leonard Linggi, konsensus dalam parti dicapai hasil rundingan mendiang Tun Jugah dengan Allahyarham Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub apabila berunding untuk menggabungkan parti PESAKA dengan parti BUMIPUTERA bagi membentuk PBB pada 1973.
“Saya adalah antara pemimpin dalam PESAKA berunding untuk mencantumkannya dengan parti BUMIPUTERA bagi membentuk PBB. Yang lain ialah Sidi Munan, Pengarah Bayang dan Temenggong Oyong Lawai Jau,” katanya.
Parti PESAKA
Parti PESAKA ditubuhkan pada Ogos 1962, di Sibu oleh beberapa pemimpin Iban di Batang Rajang. Antara pemimpin Iban yang menjadi pengasas PESAKA ialah Penghulu Masan Radin, Pengarah Bayang, Penghulu Chundi Resa dan Penghulu Francis Umpau.
Tun Temenggong Jugah, Temenggong Oyong Lawai Jau dan Jonathan Bangau menyertai parti itu kemudian.
Tun Jugah dan Oyong Lawai ketika itu adalah ahli parti PANAS manakala Bangau ahli Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP). Penghulu Tawi Sli dan Penghulu Abok Jilan turut menyertai PESAKA.
Tawi Sli adalah Ketua Menteri Sarawak yang kedua (23 September 1966 – 7 Julai 1970).
Idea menubuhkan PESAKA adalah daripada Thomas Kana yang dilantik menjadi Setiausaha Agung pertamanya.
Parti PANAS ditubuhkan pada 9 April 1960 oleh Datuk Patinggi Abang Mustapha, berikutan penubuhan SUPP iaitu parti politik pertama ditubuhkan di Sarawak pada 1959.
Kemudian pada 4 Disember 1961, parti BARJASA ditubuhkan oleh Tun Tuanku Bujang.
Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub and Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud adalah antara yang pertama menyertai parti itu.
Tun Abdul Rahman kemudian dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak ketiga (7 Julai 1970 – 26 Mac 1981) dan menyandang jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak pada 2 April 1981 hingga 2 April 1986.
Tun Pehin Sri Abdul Taib pula adalah Ketua Menteri keempat (26 Mac 1981 – 28 Februari 2014), kini Yang Dipertua Negeri Sarawak sejak 1 Mac 2014.
Apabila gabungan menjadikan parti BUMIPUTERA ditubuh, menyebabkan parti BARJASA dan PANAS dibubarkan.
Parti BUMIPUTERA
Untuk memastikan kaum Bumiputera Islam Sarawak bersatu dalam politik, parti PANAS dan BARJASA merancang untuk bergabung selepas beberapa bulan pilihan raya majlis tempatan di Sarawak pada 1963.
Susulan beberapa siri rundingan, akhirnya kedua-dua parti itu bersetuju bergabung membentuk Parti Bumiputera Sarawak (BUMIPUTERA) pada 30 Mac 1968.
Sehari selepas kedua- dua parti itu bergabung, Tan Sri Datuk Amar Abang Ikhwan Zaini dilantik sebagai Presidennya, Tuanku Bujang sebagai Naib Presiden dan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Setiausaha Agung.
Pembentukan Parti PBB
Parti BUMIPUTERA mula berunding dengan PESAKA untuk menggabungkan kedua-dua parti itu pada 1968. Bagaimanapun, PESAKA pada awalnya tidak mahu menerima idea itu kerana dikhuatiri akan dikuasai Bumiputera Islam.
Satu lagi rundingan diadakan pada September 1972, dan hasil rundingan itu kedua-dua belah pihak bersetuju untuk bergabung pada 5 Januari 1973. PBB akhirnya didaftar dan ditubuhkan secara rasmi pada 30 April 1973.
Selepas PBB ditubuhkan, Tun Jugah dilantik sebagai Presiden pertama, manakala Tun Pehin Sri Abdul Taib sebagai Timbalan Presiden dan Tun Abdul Rahman Ya’kub sebagai Setiausaha Agung.
Namun, ketokohan pemimpin PBB membantu membangunkan negeri ini dengan pendekatan kepemimpinan berbeza mengikut peredaran zaman. Secara tradisi, Presiden PBB adalah juga Ketua Menteri (sekarang dikenali sebagai Premier Sarawak).
Tun Rahman memainkan peranannya menyatukan Bumiputera di Sarawak, Tun Pehin Sri Taib pula terkenal dengan dasar ‘politik pembangunan’.
Seterusnya Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan) yang berdamping dengan ramai pemimpin Kerajaan Pusat berani bersuara mengenai hak Sarawak terutama berkisar kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Tok Nan adalah pemimpin pertama Sarawak yang membuka pintu untuk berunding bagi menuntut hak-hak Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63 tetapi terhakis.
Rundingan itu kemudian diteruskan oleh Presiden PBB sekarang dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari lebih lagi ke hadapan mengikut perkembangan global dengan memperkenalkan ekonomi digital, tenaga hijau, industri karbon dan memperkenal hak perundangan ruang udara spektrum.
Selamat bersidang untuk semua perwakilan ke Perhimpunan Agung ke-15 parti PBB mulai esok.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak