KESEPADUAN sosial adalah aspek penting dalam membina sebuah masyarakat yang dinamik dan inklusif. Konsep kesepaduan merangkumi nilai-nilai seperti kekitaan, keterhubungan, keterbukaan, kesamaan, penyertaan dan keterangkuman.
Kekitaan menuntut kesedaran diri dan warisan budaya individu, sementara keterhubungan menggariskan betapa pentingnya interaksi dan kerjasama antara individu atau kelompok.
Keterbukaan memainkan peranan dalam menerima kepelbagaian dan pandangan berbeza, manakala kesamaan dan penyertaan menggariskan pentingnya perlakuan adil dan penglibatan aktif dalam proses masyarakat. Keterangkuman pula merujuk kepada pemahaman kolektif dan rasa identiti bersama.
Pendekatan holistik terhadap nilai-nilai ini mencorakkan masyarakat yang saling menghormati, terbuka terhadap perbezaan dan terlibat dalam pembangunan bersama untuk kelestarian dan kemakmuran.
Perbincangan ini akan memberikan perspektif Sarawak mengenai konsep kesepaduan sosial daripada kaca mata Sarawak. Semoga perbincangan ini akan dapat memperluaskan horizon pemikiran, tanggapan dan perspektif yang lebih luas dalam memahaminya sebagai indeks perpaduan yang penting kepada masyarakat dan negara.
Kekitaan
Kekitaan merujuk kepada kesedaran individu terhadap identiti, nilai-nilai dan objektif hidup mereka. Aspek ini melibatkan pemahaman yang mendalam mengenai diri sendiri dan keupayaan untuk mengenali keperluan serta aspirasi secara individu dan berkembang menjadi matlamat bersama sebagai kelompok bersama dan ini dikenali sebagai rasa kekitaan.
Konsep ini menekankan pengenalan diri sebagai elemen asas untuk pembangunan diri dan penyelarasan dengan masyarakat. Sebagai contoh, seseorang yang memiliki kekitaan yang kukuh akan dapat menentukan matlamat hidup dan mengukuhkan nilai-nilai yang membimbing tindakan mereka.
Begitu juga aspek kekitaaan di Sarawak dapat dilihat dalam usaha untuk memelihara dan menyuburkan warisan budaya masing-masing etnik. Sebagai contoh, komuniti Iban yang aktif menganjurkan dan menyertai acara-acara adat, upacara dan perayaan tradisional seperti Gawai Dayak adalah sebagai manifestasi kekitaan mereka yang kaya dengan nilai-nilai dan tradisi warisan.
Keterhubungan
Keterhubungan melibatkan interaksi antara individu atau kelompok dalam masyarakat. Ia membawa maksud terdapatnya hubungan yang saling bergantung di antara satu sama lain dan tindakan satu pihak boleh memberi impak kepada pihak lain.
Keterhubungan mencerminkan kepentingan untuk berkomunikasi, berkolaborasi dan berkongsi sumber daya. Sebagai contoh, dalam konteks masyarakat, keterhubungan diwujudkan melalui kerjasama dalam projek-projek sosial atau ekonomi yang memberikan manfaat kepada semua pihak yang terlibat.
Dalam konteks ini, keterhubungan (Interconnectedness) ini boleh diambil contoh kerjasama antara pelbagai etnik di pasar raya atau projek-projek pembangunan. Misalnya di Pasar Tani Satok, pelbagai etnik menjual sayur dan hasil pertanian mereka. Ada yang menjadi pembeli, pengedar dan petani. Begitu juga sebagai contoh, inisiatif penubuhan koperasi ladang kelapa sawit misalnya, dalam kalangan petani Melayu, Iban dan Bidayuh untuk meningkatkan pengeluaran dan pemasaran hasil peladangan secara bersama-sama.
Keterbukaan
Keterbukaan merujuk kepada sikap terbuka terhadap idea, pandangan, atau maklumat baru tanpa prasangka atau penolakan. Konsep ini menitikberatkan pada kesediaan untuk menerima kepelbagaian dan mempertimbangkan perspektif yang berbeza. Keterbukaan membentuk asas untuk pembelajaran dan pertumbuhan intelektual. Sebagai contoh, keterbukaan masyarakat terhadap budaya asing dapat menghasilkan masyarakat yang dinamik dan bersifat inklusif.
Contoh keterbukaan (openness) di Sarawak dapat dilihat dalam pelaksanaan program kebudayaan yang melibatkan pelbagai etnik. Acara-acara ini menjadi platform untuk menyuarakan dan berkongsi aspek kebudayaan yang unik. Sebagai contoh, penganjuran festival seni dan kebudayaan yang melibatkan pelbagai etnik, seperti Festival Gendang Sarawak, yang mewujudkan suasana keterbukaan terhadap kepelbagaian seni dan budaya.
Begitu juga, acara setiap lima tahun kerajaan Sarawak mengadakan Simposium Budaya Sarawak ke-7 sempena sambutan Kemerdekaan Sarawak. Setiap tujuh etnik utama diberikan peruntukan bagi menganjurkan simposium budaya, iaitu etnik Melayu, Melanau, Iban, Cina, Bidayuh, Orang Ulu dan India kemudian disusuli dengan simposium secara menyeluruh.
Kesemua ini menunjukkan keterbukaan etnik di Sarawak membincangkan secara terbuka isu dan cabaran serta mengemukakan resolusi untuk menanganinya.
Kesamaan
Kesamaan melibatkan kesetaraan atau persamaan dalam pelbagai aspek, seperti hak dan tanggungjawab. Ia menekankan pentingnya perlakuan adil terhadap semua individu tanpa mengira perbezaan. Konsep ini merupakan aspek utama dalam mewujudkan masyarakat yang adil dan saksama. Sebagai contoh, kesamaan dalam peluang pendidikan menunjukkan pendekatan yang inklusif terhadap semua lapisan masyarakat.
Konsep kesamaan (equality) ini dapat dilihat dalam peluang pendidikan yang disediakan secara saksama kepada semua lapisan masyarakat di Sarawak. Yayasan Sarawak memainkan peranan penting dalam memastikan keadilan sosial dan peluang biasiswa mahupun pinjaman kepada anak-anak Sarawak yang yang layak.
Malah dengan pendapatan Sarawak semakin tinggi dengan tambahan daripada hasil Cukai Jualan Terhadap Jualan dan Perkhidmatan terhadap Petronas hampir RM3 bilion setahun dijangka, kerajaan Sarawak akan memberikan pendidikan percuma kepada semua anak negeri Sarawak di peringkat pendidikan tinggi.
Penyertaan
Penyertaan merujuk kepada penglibatan aktif individu atau kelompok dalam proses pembuatan keputusan atau aktiviti masyarakat. Ini mencakupi hak untuk bersuara, memberikan sumbangan dan turut serta dalam pembangunan komuniti.
Penyertaan adalah prinsip penting dalam membentuk masyarakat demokratik dan berkeadilan. Sebagai contoh, penyertaan rakyat dalam pilihan raya atau perbincangan awam memastikan representasi yang seimbang dalam sistem politik. Penyertaan (participation) masyarakat di Sarawak dapat dilihat melalui peranan aktif mereka dalam pelbagai majlis adat, pertemuan komuniti dan aktiviti sukarela.
Sebagai contoh, penyertaan dalam upacara adat seperti Gawai Dayak menunjukkan keterlibatan komuniti dalam memelihara dan menyumbang kepada tradisi mereka. Pembentukan Majlis Adat Istiadat Sarawak memperlihatkan keaktifan Bumiputera terlibat dengan aktif mengenai isu-isu tempatan dan melakukan pemuliharaan dan pemeliharan warisan budaya mereka.
Keterangkuman
Keterangkuman merujuk kepada keadaan, iaitu semua individu atau kelompok berasa mereka adalah sebahagian daripada satu keseluruhan yang lebih besar. Hal ini mampu membina perasaan kesatuan dan identiti kolektif dalam masyarakat. Keterangkuman melibatkan pemahaman akan peranan setiap entiti dalam mencapai objektif bersama.
Sebagai contoh, keterangkuman dalam organisasi masyarakat di Sarawak seperti penubuhan Saberkas Sarawak boleh terwujud melalui penyelarasan matlamat dan usaha bersama untuk mencapai kejayaan bersama.
Keterangkuman (inclusiveness) ini terhasil apabila semua etnik di Sarawak berasa bahawa mereka adalah sebahagian daripada pembangunan negeri. Sebagai contoh, penyelarasan matlamat pembangunan ekonomi yang melibatkan pelbagai etnik, seperti penubuhan agensi di setiap wilayah dapat menyantuni keperluan semua komuniti, menunjukkan semangat keterangkuman dalam merangkul semua lapisan masyarakat Sarawak.
Misalnya penubuhan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Badan Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Badan Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) kesemua iini menunjukkan usaha keterangkuman.
Secara keseluruhan, pemahaman konsep seperti kekitaan, keterhubungan, keterbukaan, kesamaan, penyertaan dan keterangkuman adalah penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan progresif di Sarawak.
Kesedaran akan nilai-nilai ini memainkan peranan utama dalam memupuk pembangunan individu dan komuniti secara menyeluruh serta mengukuhkan kestabilan, meraikan kepelbagaian dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan dan mengukuhkan kesepaduan sosial Sarawak.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)