
KUCHING: Konsep ‘Caregiverpreneurship’ atau Keusahawanan Penjaga akan menjadi perkara utama dibincangkan pada Persidangan Keusahawanan Wanita (WEC 2025) yang berlangsung di Menara Dayak Chamber pada 21 hingga 22 Februari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, Kerajaan Pusat akan terus memperkasa sektor penjagaan dengan melatih lebih ramai penjaga profesional bagi memenuhi keperluan golongan yang memerlukan, termasuk kanak-kanak, ibu dalam pantang dan warga emas.
Katanya, usaha ini telah dimulakan sejak tahun lalu dan akan diperluaskan lagi tahun ini bagi memastikan lebih ramai penjaga profesional dapat berkhidmat dalam industri yang semakin berkembang pesat.
“Program latihan penjaga telah pun dimulakan dan tahun ini, Kerajaan Pusat menyasarkan untuk melatih lebih 480 penjaga, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi 400 orang.
“Tahun lalu, seramai 385 penjaga telah menerima latihan, namun jumlah itu perlu ditingkatkan bagi memastikan tenaga kerja mencukupi untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam sektor penjagaan.
“Kita mahu lebih ramai penjaga profesional dilatih kerana industri ini semakin berkembang. Kita juga tidak mahu masyarakat memandang rendah terhadap pekerjaan dalam sektor penjagaan ini.
“Oleh itu, usaha sedang dilakukan untuk meningkatkan taraf profesion ini dengan memberi pengiktirafan yang lebih baik kepada para penjaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media WEC 2025 di Sarawak Chamber di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Nancy turut memaklumkan bahawa tahun ini Malaysia akan memainkan peranan lebih besar di peringkat Asia Tenggara (ASEAN) dalam memperjuangkan isu berkaitan wanita dan sektor penjagaan.
Katanya, beliau dipertanggungjawabkan untuk mengetuai agenda berkaitan wanita dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Presiden Persatuan Jaringan Pemerkasaan dan Kelestarian Wanita (WESNA) Kuching, Dr Carolina Sandra Giang, beliau menggesa lebih ramai wanita Dayak menceburi bidang penjagaan profesional, khususnya dalam perkhidmatan penjagaan ibu dalam pantang.
Katanya, penyertaan wanita Dayak dalam sektor ini masih rendah berbanding kaum lain, terutama Melayu yang mendominasi bidang penjagaan berpantang.
“Kami mendapati masih terlalu sedikit wanita Dayak yang terlibat dalam bidang ini. Sebaliknya, jumlah penjaga berpantang dalam kalangan masyarakat Melayu jauh lebih tinggi.
“Oleh itu, kami mahu menggalakkan lebih ramai wanita Dayak untuk menceburi perniagaan dalam industri ini kerana ia boleh menjadi pilihan kerjaya yang berdaya maju selain daripada kraftangan,” katanya.
Mengenai Persidangan WEC 2025, ia berjaya menarik penyertaan 153 wanita Dayak dari seluruh Sarawak yang terlibat dalam pelbagai sektor keusahawanan.
Oleh Mohd Neenatul Aizal