MIRI: Tiada wujud sebarang simptom negatif atau rasa tidak selera mahu pun kesakitan pada tangan, demikian kata Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin yang berkongsi pengalamannya sehari selepas menerima suntikan vaksin Covid-19, pada Sabtu.
Beliau memberikan semangat kepada bakal penerima suntikan vaksin agar tidak perlu khuatir atau bimbang kerana kerajaan telah memastikan vaksin Pfizer-BioNTech selamat dan berkesan serta tidak membawa sebarang reaksi yang teruk terhadap tubuh badan.
“Prosedur suntikan juga di bawah jagaan rapi oleh panel anggota perubatan dan petugas-petugas di pusat.
“Mulai dari aliran sistem pendaftaran sehinggalah ke prosedur tamat suntikan adalah sangat terancang dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat,” katanya selepas meninjau keadaan Program Suntikan Vaksin Covid-19 fasa pertama di Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Dato Permaisuri Permyjaya di sini semalam.
Sementara itu, Kim Shin yang juga merupakan menteri bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri berpuas hati dengan segala urusan vaksinasi di PPV tersebut yang dijalankan dengan teratur dan lancar.
Katanya, segala fasiliti dan kelengkapan yang digunapakai di PPV tersebut juga adalah baik manakala aliran sistem pendaftaran vaksinasi juga disusun dengan sistematik dan terancang serta mengikut panduan SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Orang ramai diseru untuk mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera dengan telefon pintar atau bagi mereka yang tiada telefon pintar boleh mendaftar dengan mengisi borang di Pejabat Daerah, Ketua-ketua Kaum dan Masyarakat (KMKK) atau Jawatankuasa Penduduk di bawah Majlis Bandaraya Miri, Majlis Daerah Subis, Majlis Daerah Marudi khususnya untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi fasa kedua dan ketiga yang akan datang.
“Pendaftaran awal ini bagi tujuan memudahkan urusan persiapan awal pegawai KKM seperti pengumpulan data jumlah penerima berdaftar,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman, Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Tudan, Dr. Maurice Steve Utap.
Oleh LIONG CHAI LING