SEDAP, lembut, tidak terlalu manis dan hiasan yang amat cantik. Begitulah gambaran terhadap kek dihasilkan oleh seorang wanita dari Rumah Bama Ginda, Nanga Risau, Jalan Awik, Saratok iaitu Dorothy Pauline Medang.
Dengan hanya berkongsi hobi membuat kek di laman sosial, Dorothy kini tidak menyangka bahawa tindakannya itu pada suatu hari nanti akan menjurus kepada munculnya Mummy Nia Kitchen yang kini menjadi sebutan ramai netizen di sekitar kawasan Saratok.
“Segalanya bermula pada November 2019. Ketika meluangkan masa bersama keluarga di Kuching, saya mula terfikir idea untuk cuba membuat kek bagi tujuan sarapan pagi atau untuk minum petang.
“Setelah menghasilkan satu kek, si suami dan anak perempuan mengatakan ia sangat sedap sehingga mendorong saya untuk cuba menghasilkan kek dengan lain-lain perisa semenjak itu,” kata beliau.
Dorothy berkata pembabitan dalam dunia pembuatan kek menyebabkan beliau menghadiri kursus seperti Anna Cake Training Centre Kuching, kelas kek bajet di Samarahan serta Kelas Teori dan Praktikal anjuran Rumpun Mesra Pulau Pinang di Saratok.
Selain menghadiri kursus dan kelas, beliau juga rajin menonton laman web YouTube untuk menyaksikan pembuatan pelbagai jenis kek dan teknik khusus yang masih belum dipelajarinya untuk kegunaan diri.
Ilmu yang diperolehnya menerusi kelas, kursus dan tontonan di laman web YouTube itu kata Dorothy membolehkan dirinya menghasilkan kek berasaskan perisa seperti Pandan, Strawberry, Green Tea, Vanilla, Coklat dan Red Velvet.
“Kemuncak pembabitan saya dalam pembuatan kek ini bermula apabila kerajaan mengumum mahu menguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lepas berhubung peningkatan kes positif Covid-19.
“Saya bersama keluarga kemudiannya bertindak pulang ke rumah panjang di Saratok. Dari situ ahli keluarga dan jiran tetangga mula menikmati kek yang saya hasilkan sebelum ia menjadi buah mulut dalam kalangan penduduk dari rumah panjang berdekatan,” katanya.
Dorothy kemudian terus berkongsi hobi pembuatan kek di laman web sosial sehingga netizen dari sekitar Saratok mula mengirim mesej untuk bertanya mengenai kemungkinan boleh atau tidak menempah kek daripada dirinya.
“Oleh sebab mereka adalah rakan netizen maka saya terus bersetuju. Lagi pun membuat kek adalah aktiviti terbaik saya sepanjang berlangsungnya penguatkuasaan PKP yang ketat ketika itu.
“Namun persetujuan itu ada impak positifnya kerana rakan-rakan netizen mula menular hobi saya itu di media sosial sehingga ia menarik perhatian lebih ramai warga netizen untuk membuat tempahan kek yang sama,” kata Dorothy.
Bekas kerani dari sebuah syarikat di Kuching itu juga menambah bahawa suaminya iaitu Raymond Abang Lom yang kini bekerja di syarikat pesisir pantai mula membeli beberapa peralatan untuk memperkembang hobi membuat kek di rumah.
“Buat pertama kalinya saya menerima tempahan kek yang banyak adalah pada Mei 2020 dengan rakan-rakan dan netizen menempah sekitar 60 kek daripada saya bagi tujuan meraikan sambutan Hari Ibu, majlis perkahwinan atau pertunangan.
“Paling mendapat perhatian adalah kek perisa Pandan dan Red Velvet. Dengan harga yang berpatutan boleh dikatakan sehingga kini saya terus menerima tempahan sekitar 1,000 hingga 1,500 kek sebulan daripada netizen,” kata Dorothy.
Beliau mengajak suri rumah di sekitar Saratok agar mencuba hobi pembuatan kek kerana ia boleh menjana pendapatan kepada mereka di rumah berbanding dengan kerja makan gaji pada waktu sukar ini.
“Saya tak sangka hobi membuat kek boleh mengubah hidup kami sekeluarga. Dengan mendalami hobi membuat kek bermula dari November 2019 ia akhirnya menjurus kepada kemunculan Mami Nia Kitchen di media sosial pada masa sekarang.
“Justeru terima kasih saya diucapkan kepada suami, ahli keluarga dan rakan-rakan semua. Tanpa sokongan mereka semua maka adalah mustahil untuk menyebabkan hobi membuat kek ini menular dalam kalangan netizen sepanjang tempoh PKP sebelum itu,” kata beliau.
Oleh VALENTINE NGUMBANG