LINGGA: ‘Tolong aku Saji, Tolong aku’, sebanyak tiga kali yang mampu diraungkan oleh Kong Gindi, 47, sebelum hilang ditarik oleh sang bedal ke dasar Sungai Seduku, dalam satu kejadian serangan buaya di Rumah Panjang Tuntun, di sini pagi semalam.
Sewaktu kejadian, mangsa bersama seorang rakannya, Saji Thomas, 52, ketika sedang memeriksa dan mencuci perahu sekitar 9.30 pagi.
Menurut Saji yang menceritakan perkara itu, kejadian tersebut dianggarkan berlaku sekitar 9.30 pagi ketika kedua-dua mereka itu sedang memeriksa dan mencuci perahu.
“Kami berdua yang turun ke jeti sekitar 9.15 pagi, iaitu kira-kira 50 meter dari rumah panjang untuk mencuci perahu yang berada di tebing Sungai Seduku semasa air pasang.
“Saya pada masa itu bersama-sama berada di dalam air sungai ketika mencuci perahu tetapi kedudukan saya berada di kiri perahu manakala Kong di sebelah kanan perahu.
“Semasa kami sedang asyik mencuci perahu, saya terkejut melihat mangsa (Kong) telah disambar di bahagian kaki oleh seekor buaya yang amat besar.
“Beliau sempat meminta pertolongan daripada saya sebelum hilang diheret buaya ke dasar sungai,” tambah beliau.
Kedua-dua mereka berasal dari Rumah Panjang Seduku Ili.
Menurut Saji, jarak beliau dengan mangsa semasa kejadian hanya sejauh lima kaki, dan kejadian itu menurut beliau terlalu pantas menyebabkan beliau tidak dapat membantu rakannya itu diserang sang bedal.
“Pada masa itu juga, saya yang berada di sebelah kiri perahu tidak dapat berbuat apa-apa kerana kejadian malang itu berlaku terlalu pantas sehingga saya tidak dapat menyelamatkan Kong,” kata beliau.
Beliau selepas itu bertindak untuk memaklumkan kejadian itu kepada penghuni rumah panjang untuk melancarkan gerakan mencari Kong yang telah diheret buaya ke dasar sungai.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, PPgB William Baheng berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar 10.19 pagi.
“Sebaik sahaja menerima panggilan daripada penduduk, BBP Sri Aman bersama lima bomba bergegas ke lokasi kejadian iaitu di Sungai Seduku dekat Rumah Panjang Tuntun,” katanya.
Beliau berkata, sebaik menerima laporan daripada penduduk kampung, anggota bomba, polis serta penduduk kampung melancarkan gerakan mencari dan menyelamat mangsa.
“Bomba turut dihubungi bagi membantu gerakan mencari dan menyelamat tetapi sehingga lewat petang, mangsa masih belum ditemui.
“Berdasarkan keterangan rakannya, mangsa disambar buaya ketika sedang memeriksa dan mencuci perahu di sungai itu.
“Pencarian masih dijalankan di kawasan berdekatan lokasi mangsa dikatakan disambar buaya berkenaan,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman