SERANGAN ke atas Tebedu pada 12 April 1963 memulakan konfrontasi bersenjata Indonesia ke atas Sarawak. Serangan itu telah menyebabkan salah seorang anggota keselamatan Sarawak terkorban.
Konfrontasi ini digerakkan oleh tiga kumpulan berbeza iaitu gerila Indonesia, Tentera Nasionalis Kalimantan Utara (TNKU) dan Clandestine Communist Organization (CCO). TNKU adalah sebuah organisasi yang telah melancarkan pemberontakan di Brunei dan utara Sarawak.
Manakala pertubuhan CCO adalah pertubuhan komunis yang bergerak aktif di Sarawak pada ketika itu. Kebanyakan berita-berita tentang serangan ke atas Sarawak dinamakan sebagai Gerombolan Azahari atau Aza. Azahari merupakan pemimpin Parti Rakyat Brunei (PRB) dan beliau tidak setuju dengan rancangan Malaysia. Atas sebab itu kemungkinan serangan-serangan ini dikaitkan dengan nama beliau.
Bantuan
Serangan ke atas balai polis di Tebedu membuatkan kerajaan British bersedia untuk menghadapi apa sahaja serangan daripada pihak lawan apabila 40 Royal Marine Commandos di bawah Major Jeneral W. C. Walker ditugaskan mengawal sempadan Sarawak.
Untuk menambah kekuatan anggota keselamatan untuk menjaga keselamatan di Sarawak maka 1st Bn. King’s Own Yorkshire Light Infantry telah dibawa masuk ke Sarawak. Pasukan tentera ini diterbangkan dari Brunei pada 13 April 1963 ke Kuching. Pertahanan dan keselamatan Sarawak diperkuatkan lagi dengan adanya sebuah pasukan keselamatan British iaitu The Queen’s Royal Irish Hussars di Kuching.
Pada masa sama kedatangan 40 Royal Marine Commandos disertai oleh 2/10 Gurkha Rifles. Pasukan keselamatan ini diangkut dari Singapura ke Sarawak menggunakan kapal perang H.M.S. Albion.
Serangan Kedua
Sementara itu kawasan yang menjadi kawasan tidak selamat di Sarawak adalah di sepanjang sempadan Sarawak dan Indonesia. Di kawasan itu pihak musuh sering menceroboh dan menyerang kedudukan pasukan keselamatan.
Keadaan ini berlaku ke atas Balai Polis Tebedu apabila ia diserang kali kedua. Serangan musuh itu dilakukan pada 27 April 1963. Serangan kedua ini melibatkan seramai sembilan anggota pasukan musuh. Pihak keselamatan Sarawak di bawah 40 Royal Marine Commandos dan Pasukan Polis Hutan telah berjaya mempertahankan balai polis tersebut. Pihak musuh terpaksa berundur ke sempadan dalam kegelapan malam, dan pertempuran hanya berlangsung selama 15 minit.
Sebenarnya serangan kedua ke atas Sarawak telah dibuat oleh pihak musuh apabila menyerang pasukan keselamatan yang berkhemah di Gumbang berdekatan dengan Pangkalan Terbang. Serangan yang berlaku oleh tentera musuh yang berjumlah sekitar lapan ke 10 orang itu dilakukan pada 23 April 1963.
Serangan ini dilakukan pada awal pagi. Royal Marine yang ditugaskan menjaga sempadan tersebut berjaya menghalang kemaraan serangan tersebut. Pertempuran itu berlangsung selama 20 minit dengan salah seorang anggota keselamatan mengalami kecederaan. Pihak musuh yang sempat melarikan diri telah meninggal nota bahawa mereka adalah dari TNKU.
Orang awam juga tidak terkecuali menerima akibat serangan pihak musuh. Kejadian di Nanga San berdekatan dengan Lubok Antu adalah bukti jelas tentang tindakan serangan kepada orang awam. Kejadian yang berlaku pada 18 Mei 1963 itu tidak membawa korban kerana penumpang perahu sempat melarikan diri.
Perintah Berkurung
Sementara itu serangan ke atas anggota keselamatan di sempadan ini membawa kepada perintah berkurung dijalankan di sempadan Sarawak iaitu di bahagian Pertama dan Kedua. Usaha untuk mengenakan perintah berkurung ini adalah untuk menjaga keselamatan penduduk tempatan. Perintah berkurung itu dilakuan selama kira-kira empat bulan telah dilanjutkan lagi bagi mengawal keselamatan di sempadan tersebut.
Satu lagi usaha dilakukan bagi memantapkan keselamatan di sempadan Sarawak ialah dengan melibatkan penduduk tempatan dalam menjaga keselamatan Sarawak. Usaha ini dibuat dengan menubuhkan unit Border Scouts. Pasukan baharu ini ditugaskan untuk mengawal sempadan Sarawak di Bahagian Pertama dan Kedua.
Pasukan ini dilatih oleh pasukan keselamatan secara latihan gerila. Mereka ini akan ditempatkan di kampung masing-masing. Mereka ini juga diberi pakaian seragam berwarna hijau hutan yang lengkap dengan shoulder flashes dan lencana.
Mereka juga akan dibekalkan dengan senjata. Bagi memberi keselesaan kepada mereka pihak kerajaan bersetuju memberi gaji bulanan sebanyak $130 sebulan dan elaun khas sebanyak $20. Mereka ini juga akan menerima bonus tahunan sebanyak $120 setahun. Pasukan ini menjadi pasukan bantuan polis Sarawak.
Usaha untuk mengrekrut penduduk tempatan ini dilakukan dengan jumlah kecil. Ini kerana pihak kerajaan hanya mahu sejumlah kecil sahaja penduduk sesesuatu kawasan terlibat, dan tidak mahu menganggu kehidupann harian penduduk kampung. Mereka yang akan dipilih bagi menganggotai pasukan ini berumur antara 17 ke 45 sahaja.
Langkah untuk menjaga keselamatan Sarawak ini juga melibatkan usaha untuk meminta orang ramai terutama bukan bumiputera untuk menyerahkan senjata yang mereka miliki. Setakat April 1963 sebanyak lebih 6,300 patah senapang telah diserahkan kepada pihak berkuasa.
Jumlah serahan senjata ini bertambah pada bulan Mei apabila sebanyak kira-kira 8,000 telah diserah kepada pasukan keselamatan. Terdapat beratus lagi senjata yang belum diserahkan kepada pihak berkuasa keselamatan.
Penutupan Sekolah
Kesan ketara tentang serangan pihak musuh ini menyebabkan beberapa buah sekolah di sempadan telah ditutup untuk sementara waktu. Di Tebedu dua sekolah telah ditutup dan salah sebuahnya dibuka semula pada pertengahan Jun.
Di Lubok Antu pula Lubok Huntih School juga terpaksa ditutup kerana berlaku serangan oleh pihak musuh. Keadaan sama juga berlaku di salah sebuah sekolah di Lundu.
Serangan Hendap
Usaha menggiatkan lagi keselamatan Sarawak beberapa usaha ketenteraan dimantapkan. Atas sebab itu pihak musuh tidak boleh sesuka hati dapat memasuki sempadan Sarawak tanpa kawalan ketat dari tentera keselamatan.
Kawalan ketat ke atas penceroboh membawa kepada kejadian tembak menembak yang berlaku pada 8 Julai 1963. Pada hari kejadian anggota keselamatan berjaya menyerang hendap dua anggota musuh yang menyelinap masuk ke Sarawak di Bahagian Kedua. Satu pertempuran kecil berlaku yang membawa kepada salah seorang anggota pasukan musuh terbunuh.
Manakala seorang lagi sempat melarikan diri dengan kecederaan. Senjata yang digunakan oleh pihak musuh dikenal pasti sebagai senjata yang dirampas oleh pihak musuh pada serangan pertama di Tebedu.
Penafian
Sementara itu Leftenan General Abang Kifli sebagai Panglima Agong bagi tentera Pemberontak Brunei telah menegaskan bahawa pihak Indonesia tidak terlibat dalam serangan yang dibuat ke atas sempadan Sarawak. Beliau menyatakan bahawa tentera yang menyerang itu adalah daripada pihak mereka.
Serangan mereka ini dilakukan ke atas kedudukan tentera pihak penjajah British yang terletak di Gumbang dan Tebedu. Beliau juga menegaskan bahawa serangan itu tidak melibatkan orang Indonesia.
Sebaliknya pihak berkuasa di Sarawak mendapati bahawa penyerang-penyerang dari TNKU itu adalah orang Indonesia. Ini kerana tangkapan yang dibuat ke atas pasukan musuh mendapati bahawa mereka itu berasal dari Kalimantan, Indonesia.
Salah seorangnya ditangkap mengatakan bahawa beliau telah direkrut sejak Mac 1963. Beliau yang berasal daripada Sambas itu telah menerima latihan tentera pada 10 April 1963.
Secara keseluruhannya pihak British masih mampu mengawal keselamatan di Sarawak. Serangan pihak musuh tidak berjaya menggugat pembentukan Malaysia. Malahan Malaysia akhirnya terbentuk pada 16 September 1963.
Dr. Suffian Mansor adalah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.