SELEPAS penubuhan Malaysia, konfrontasi terus menghantui sempadan-sempadan Sarawak dan termasuk di Sabah. Malahan masalah ini juga menjalar ke Semenanjung Malaysia.
Pemerintah Indonesia masih bertegas untuk mengerakkan dan meneruskan konfrontasi walaupun tinjauan misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mendapati rakyat Sarawak dan Sabah menerima pembentukan Malaysia. Pihak pemerintah Indonesia masih berpegang bahawa Malaysia sebagai neo-kolonalisme dan bukan kemerdekaan sebenar bagi Sarawak, Sabah dan Singapura.
Atas sebab itu pencerobohan sempadan semakin kerap berlaku di Sarawak dan Sabah yang membawa kepada pertempuran dengan pihak berkuasa Malaysia. Pihak musuh mempergiatkan serangan di sempadan Sarawak yang membawa kerosakan harta benda dan ada yang kehilangan nyawa.
Sokongan
Sokongan pemerintah Indonesia kepada konfrontasi ini ditegaskan oleh Menteri Luarnya iaitu Dr. Subandrio dalam rapat umum Pesta Setiakawan Pemuda Internasional dengan pejuang kemerdekaan Kalimantan Utara di Jakarta. Dalam rapat umum beliau menyatakan konfrontasi akan ditamatkan jikalau Sarawak (termasuk Singapura dan Sabah) telah mencapai kemerdekaan sebenarnya menurut kaca mata Indonesia. Kenyataan Dr. Subandrio menunjukkan Indonesia tidak menyokong kemerdekaan Sarawak dan beberapa wilayah yang membentuk Malaysia.
Sokongan kepada konfrontasi oleh Indonesia ditunjukkan dengan pencerobohan ruang udara Malaysia di Sarawak. Pada akhir tahun 1963 pencerobohan ruang udara Malaysia semakin ketara. Pada 8 Disember 1963 kapal terbang TU-16 Indonesia buatan Rusia dilihat terbang di ruang udara di Kuching.
Tindakan menceroboh ruang udara Sarawak ini telah berlaku lebih awal daripada itu. Ini kerana tiga buah kapal terbang Indonesia jenis Mustang (2) dan Mitchell (1) pernah berlegar-legar di sempadan Sarawak dan Indonesia. Kejadian berlaku pada 13 November 1963 ini telah mendekati Kampung Serabak, Gumbang dan Tebedu sebelum pergi ke Biawak dan Kandai.
Pencerobohan ruang udara ini juga dilakukan oleh helikopter Indonesia. Salah satu peristiwa pencerobohan ini terjadi pada 9 Disember 1963 apabila sebuah helikopter yang berlegar di ruang udara Lubok Antu sebelum berpatah balik ke Kalimantan.
Pertempuran
Selain menceroboh ruang udara Malaysia, beberapa siri pertempuran berlaku di Sarawak. Salah satu daripada pertempuran ini berlaku pada 28 September 1963 di Long Jawi. Kira-kira 50 pasukan dari Indonesia telah menyerang garisan keselamatan di Long Jawi. Serangan ke atas Long Jawi ini merupakan serangan pertama ke atas bahagian Ketiga Sarawak.
Di Gumbang pula terdapat tindakan pihak musuh melancarkan mortar ke atas Kampung Serabak. Kejadian yang berlaku pada 25 September 1963 tersebut tidak membawa sebarang kematian. Dilaporkan seekor anjing mati kerana terkena serpihan mortar tersebut.
Pada 28 September 1963 berlaku peristiwa tembak menembak di sempadan berdekatan Lubok Antu. Pihak musuh dikatakan berjumlah kira-kira 60 orang.
Kejadian di Long Rapung, Bahagian Keempat menyaksikan sebuah rumah panjang telah diserang oleh pihak musuh. Serangan ini dilakukan pada 17 Februari 1964. Pada 19 Februari 1964 pula anggota keselamatan yang melakukan rondaan di kawasan Long Rapung pula telah diserang.
Serangan ini menjadi-jadi apabila pihak musuh menyerang pos luar Malaysia di Tringgus di Bahagian Pertama. Kejadian pada 21 Februari 1964 ini menyebabkan dua anggota polis terkorban dan enam pula mengalami kecederaan. Tindakan pihak musuh ini bersifat serang dan lari.
Serangan Besar
Serangan di Balai Ringin pada 27 April 1965 pula lebih serius. Pertempuran ini menyebabkan sekurang-kurangnya empat anngota tentera Indonesia terkorban dan seorang anggota payung terjun British maut dalam serangan tersebut.
Pada tahun 1965 buat pertama kalinya Sarawak menerima serangan dari udara. Serangan ini disasarkan keatas Kampung Pa’Umor di Bahagian Keempat, Sarawak. Serangan ini tidak membawa sebarang kehilangan nyawa.
Serangan mortar di Biawak pula menyebabkan seorang guru terbunuh. Serangan pada 5 Julai 1965 jam 7.30 malam itu melibatkan juga tembakan daripada mesingan pihak musuh. Sejumlah 21 buah bom mortar telah dilancarkan ke atas Biawak.
Serangan keatas Sarawak berlanjutan sehingga pada tahun 1966. Satu pertempuran berlaku pada awal April 1966 di selatan Balai Ringin. Namun demikian pertempuran ini berakhir dengan pengunduran tentera musuh.
Keyakinan
Walaupun terdapatnya ancaman ketenteraan dari Indonesia yang menyokong pihak pemberontak tetapi pemimpin-pemimpin Sarawak yakin dapat mengatasinya. Salah seorangnya adalah Menteri Hal Ehwal Sarawak Temenggung Jugah. Beliau yakin bahawa mereka mampu mengatasi pihak pemberontak dari Indonesia ini.
Sementara itu Ketua Menteri, Stephen Kalong Ningkan yakin pasukan keselamatan negara mempunyai kekuatan bagi melawan pihak musuh. Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sarawak, Abdul Rahman Ya’akub berharap agar rakyat Malaysia bertenang dan bersabar dalam menghadapi konfrontasi dengan Indonesia.
Bagi Setiausaha Agong Barisan Anak Jati Sarawak (BARJASA), Alfred Mason menyarankan penubuhan sebuah Front Bertindak Rakyat Malaysia bagi membawa penyertaan rakyat Malaysia menghadapi ancaman konfrontasi. Beliau juga mengutuk serangan pihak musuh yang mengganggu penduduk Sarawak yang tidak berdosa. Bagi Ajibah Abol daripada Kaum Ibu BARJASA menyatakan bahawa golongan wanita Sarawak menyokong Tunku Abdul Rahman dan mereka sanggup mempertahankan Malaysia.
Pemimpin Sarawak United People’s Party (SUPP) Ong Kee Hui pula menyatakan bahawa Indonesia perlu menghormati keputusan rakyat Sarawak tentang Malaysia. Beliau menentang pencerobohan tentera Indonesia di Sarawak. SUPP juga mengambil pendirian yang sama.
Bagi membantu rakyat Sarawak yang terkesan dengan konfrontasi maka sebuah tabung derma dibuat oleh pihak kerajaan. Usaha ini digerakkan oleh Penghulu Tawi Sli di Bahagian Kedua. Beliau berkata bahawa mereka yang terkorban ini meninggalkan isteri dan anak yang perlu diberi bantuan.
Bantuan Tentera
Bagi memperkukuhkan pertahanan dan menjaga keselamatan di Sarawak dan Sabah maka pada bulan November 1963 kerajaan persekutuan telah menghantar Batalion Kelima Tentera Diraja Malaysia. Seterusnya diikuti dengan Batalion Ketiga Tentera Diraja Malaysia bersama-sama unit kejuruteraan dan logistik.
Konfrontasi ini juga mendapat perhatian negara luar untuk memberi pertolongan. Menerusi Anglo-Malaya Defence Agreement (AMDA) sekutu Britain iaitu Australia dan New Zealand bersetuju membantu mempertahankan Malaysia.
Bantuan ketenteraan ini berlanjutan sehingga Sarawak merdeka dalam pembentukan Malaysia. New Zealand memberi komitmen untuk membantu melatih dan memberi kelengkapan senjata kepada Malaysia.
Selain aspek ketenteraan kerajaan Malaysia mengambil langkah untuk meningkatkan perbelanjaan mengurus pertahanan negara. Hal ini boleh dibuktikan dengan peningkatan peruntukan pertahanan negara dari RM196 juta pada tahun 1963 kepada RM316 juta pada tahun 1964.
Dalam usaha Malaysia menangani konfrontasi dengan cara ketenteraan, usaha juga dibuat untuk menamatkan konfrontasi menerusi rundingan. Usaha ini menampak lebih menyakinkan apabila Jeneral Suharto mengambil alih kepimpinan Indonesia.
Beliau telah bersetuju untuk mengadakan rundingan damai dengan Malaysia. Satu rundingan di Bangkok telah diadakan pada 28 Mei 1966. Rundingan ini telah menamatkan konfrontasi apabila satu perjanjian ditandatangani pada 11 Ogos 1966.
Penamatan konfrontasi merupakan satu kelegaan kepada penduduk Sarawak. Walaupun penduduk Sarawak mampu menarik nafas lega tetapi bahaya masih lagi berlanjutan. Ini kerana komunis pula mengambil tindakan bersenjata ke atas keselamatan di Sarawak.
Dr. Suffian Mansor adalah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.