Konfrontasi 1963: Secebis ubi, seteguk air sungai, segunung harapan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SERIAN: Ketika kanak-kanak lain seusia dengannya bebas berlari di halaman rumah dan menuntut ilmu di sekolah, Biat Tajap pula membesar dengan secebis ubi mengalas perut, seteguk air sungai menghilangkan dahaga dan sebuah pondok kecil di tengah hutan menjadi tempat berteduh daripada dentuman mortar serta bunyi tembakan.

Lebih enam dekad berlalu, namun kenangan pahit itu masih terpahat kemas dalam ingatan lelaki berusia 74 tahun itu yang terpaksa meninggalkan bangku sekolah ketika berada di darjah empat apabila Konfrontasi Indonesia-Malaysia meletus pada 1963.

Bagi Biat, zaman kanak-kanaknya bukan diwarnai gelak tawa bersama rakan sebaya, sebaliknya dipenuhi rasa cemas setiap kali malam menjelma, bimbang bunyi tembakan kembali memecah kesunyian dan memaksa mereka berlari menyelamatkan diri.

“Masa perang tu tidak ada main-main. Semua bertapok… diam… bertapok,” katanya, mengimbau detik ketika seluruh penduduk kampung meninggalkan rumah panjang dan membina pondok sementara jauh di kawasan hutan demi mengelak serangan tentera Indonesia.

Selama hampir dua tahun, kehidupan mereka bergantung sepenuhnya kepada apa yang disediakan alam.

“Ambil air sungai saja untuk masak dan minum. Makan ubi, jagung, sagu… apa saja yang ada,” katanya sambil mengakui itulah satu-satunya cara untuk meneruskan kehidupan ketika itu.

Namun, apa yang paling sukar dilupakan bukan sekadar kehidupan serba daif di dalam hutan, tetapi detik apabila rumah panjang mereka menjadi sasaran tembakan.

Beliau masih mengingati bagaimana suasana tenang bertukar menjadi cemas apabila tentera Indonesia melepaskan tembakan ke arah rumah panjang sehingga mencederakan seorang wanita yang sedang mendukung bayi kecil, sekali gus memaksa penduduk menyelamatkan diri ke kawasan yang lebih selamat.

Lebih mendebarkan, mereka turut menemui sebutir bom mortar berhampiran rumah panjang tanpa mengetahui objek itu mampu meragut nyawa jika meletup.

“Orang dulu mana tahu itu bom. Semua pegang tengok. Kalau meletup, habislah,” katanya.

Lebih 60 tahun berlalu, namun kesan sejarah itu masih boleh disaksikan sehingga hari ini di Rumah Panjang Kampung Mujat, Tebedu, apabila beberapa dinding kayu rumah panjang tersebut masih mengekalkan kesan tembakan yang dipercayai berlaku ketika konfrontasi.

Lubang-lubang pada dinding yang dibiarkan tanpa diubah suai menjadi saksi bisu kepada detik hitam yang pernah menggegarkan kawasan sempadan Sarawak, sekali gus mengingatkan generasi hari ini bahawa keamanan yang dikecapi bukan diperoleh dengan mudah.

Konfrontasi itu turut meragut zaman persekolahan Biat.

Ketika rakan-rakan lain meneruskan pembelajaran seperti biasa, beliau hanya mampu mengikuti kelas yang diadakan secara sederhana berhampiran kawasan perlindungan selepas sekolah asalnya tidak lagi selamat untuk digunakan.

Bagi seorang kanak-kanak, bunyi tembakan dan letupan mortar sepatutnya hanya menjadi kisah dalam buku sejarah.

Namun bagi Biat, bunyi itulah yang mengiringi zaman kanak-kanaknya.

“Memang selalu dengar bunyi tembakan… ada meriam, ada mortar,” katanya.

Walaupun hidup dalam serba kekurangan, semangat kebersamaan penduduk kampung menjadi kekuatan untuk terus bertahan.

Mereka saling membantu membina pondok, berkongsi makanan dan menjaga keselamatan antara satu sama lain sehingga keadaan kembali reda hampir dua tahun kemudian sebelum pulang semula ke kampung halaman.

Hari ini, apabila melihat Sarawak terus menikmati keamanan dan pembangunan, Biat bersyukur kerana generasi muda tidak lagi perlu melalui pengalaman yang pernah membelenggu zaman kanak-kanaknya.

“Sekarang aman sudah. Cari kerja pun senang, hidup pun lebih baik daripada dulu,” katanya.

Beliau turut mengakui hubungan masyarakat di kedua-dua belah sempadan kini kembali erat kerana penduduk Sarawak dan Kalimantan sebenarnya berkongsi pertalian darah dan kekeluargaan.

“Penduduk sana dengan penduduk sini memang saudara. Cuma dipisahkan oleh sempadan,” katanya.

Bersempena sambutan Hari Sarawak, kisah Biat bukan sekadar mengimbau sejarah komfrontasi, malah menjadi peringatan bahawa di sebalik kemajuan yang dinikmati hari ini, masih berdiri sebuah rumah panjang yang dindingnya menyimpan kesan peluru, dan masih hidup seorang saksi yang tidak pernah melupakan bagaimana ubi, air sungai dan hutan pernah menjadi penyambung kehidupan ketika bumi Sarawak diuji oleh peperangan.

Oleh Shahrul Qaizat

Aku yang masih

TIDAK semua perjalanan hidup berakhir seperti yang kita impikan. Ada yang bermula dengan penuh semangat tetapi berakhir dengan perpisahan. Ada

Tubuh sihat, akal cerdas

ISLAM merupakan agama yang amat menitikberatkan keseimbangan antara perkembangan rohani, jasmani dan akal. Tubuh badan yang sihat bukan sahaja membantu

Aku punya pilihan

ADA satu perkara yang tidak pernah dapat dirampas daripada manusia, walau sehebat mana ujian yang datang, walau sebesar mana tekanan