
PETRA JAYA: Rakyat dinasihati supaya bersiap siaga menghadapi kemungkinan kesan ekonomi susulan ketegangan geopolitik global yang semakin meruncing ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, konflik melibatkan kuasa besar di Asia Barat berpotensi menjejaskan ekonomi dunia termasuk Malaysia, terutama dalam sektor minyak dan gas.
Menurutnya, sebarang gangguan terhadap rantaian bekalan minyak global boleh menyebabkan kenaikan harga bahan api sekali gus meningkatkan kos logistik serta harga barangan import.
“Dalam situasi ini, rakyat perlu mengambil langkah awal dengan mengamalkan sikap berjimat cermat terutama dalam penggunaan tenaga,” katanya ketika berucap pada Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri 2026 di Kampung Semariang Batu, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan sentiasa memantau perkembangan semasa melalui mesyuarat berkala termasuk penubuhan ‘war room’ di peringkat Persekutuan serta sesi libat urus bersama kerajaan negeri.
Katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan tindakan proaktif dapat dilaksanakan sekiranya berlaku sebarang gangguan terhadap kestabilan ekonomi dan bekalan tenaga.
“Kerajaan komited memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara dan bersedia mengambil tindakan sewajarnya mengikut keperluan semasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak panik, sebaliknya terus bekerjasama dengan kerajaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap semangat perpaduan masyarakat Kampung Semariang Batu yang berjaya menganjurkan majlis tersebut, sekali gus mencerminkan kekuatan komuniti setempat.
Oleh Shahrul Qaizat