
MARUDI: Dataran Marudi bakal dibanjiri ratusan pengunjung dari Baram dan kawasan sekitarnya apabila menjadi lokasi Program Komuniti Rami OooHaa @Marudi.
Program tersebut dijadual berlangsung selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Ogos 2025, dari 11.00 pagi hingga 11.00 malam.
Program ini dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak dengan kerjasama Majlis Daerah Marudi (MDM) dan beberapa agensi lain, dan dijangka akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JKKN Sarawak, Mohd Radzi Omar.
Pelbagai pengisian menarik menanti pengunjung termasuk persembahan artis tempatan, Pertandingan Perarakan Kebudayaan @Marudi, Pertandingan Bakat Marudi, Pertandingan Busana Kreatif, Persembahan Kebudayaan Setempat, Sukaneka dan mewarna kanak-kanak, Pertandingan Menyumpit, serta Pertandingan Boling Kelapa.
Acara utama seperti Pertandingan Bakat Marudi, Pertandingan Busana Kreatif, dan Pertandingan Gendang Melayu Sarawak pula akan diadakan pada malam 22 Ogos manakala Pertandingan Kebudayaan Marudi akan diadakan di Waterfront Marudi malam 23 Ogos pada 7.30 malam, diikuti Konsert Rakyat di Dataran Marudi pada 10.00 malam.
Antara artis tempatan yang dijemput bagi memeriahkan acara termasuk Allesandro, Pheobe Chloe, Slyvia G, Melisa Francis dan Mawat. Turut mengisi program ialah Persembahan Sape oleh Qaseh Ilyani Bartrisya dan pameran serta jualan produk tempatan seperti makanan dan kraftangan.
Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi merasai kemeriahan dan semangat perpaduan yang ditampilkan menerusi pelbagai aktiviti kebudayaan dan komuniti sepanjang program tersebut.
Oleh Jiku Juguong