KOTA SAMARAHAN: Penglibatan komuniti dalam sesuatu dasar dan keputusan adalah penting yang mana pemimpin menjadi orang tengah dalam menyalurkan pandangan komuniti kepada pihak kerajaan.
Jaringan komunikasi dua hala antara kerajaan dan komuniti membolehkan kerajaan menyampaikan dasar dan aspirasi yang ingin dilaksanakan kepada kumpulan sasar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Dato Seri Mohammad Ali Mahmud berkata, input melalui kolaborasi dan advokasi daripada komuniti kepada pihak kerajaan amat penting dalam hubungan dua hala kerajaan-komuniti bagi memastikan kehendak dan keperluan rakyat perlu dilaksanakan.
“Komuniti melalui pemimpin pula berperanan untuk menyampaikan pemahaman dan pandangan terhadap aspirasi kerajaan,” katanya.
Justeru, dalam membuat sesuatu keputusan cekap, telus dan tepat, amat penting bagi kerajaan untuk membimbing pemahaman semua pihak dan sekali gus mewujudkan penerimaan daripada pihak yang terbabit untuk pelaksanaan oleh pihak kerajaan.
“Proses penyampaian ini dilaksanakan oleh jabatan dan agensi kerajaan melalui kempen dan program dari pihak Jabatan Penerangan.
“Sekiranya pihak golongan sasar tidak memahami, tidak menyokong sesuatu dasar atau matlamat yang ingin disampaikan akan menyebabkan sesuatu pelaksanaan itu terbantut dan tidak mencapai matlamat,”ujarnya.
Mohammad Ali berkata, kerajaan tidak harus beranggapan bahawa komuniti hanya berperanan sebagai penerima sebaliknya komuniti ini adalah penyumbang dan penggerak kepada sesuatu dasar yang ingin dilaksanakan.
“Program yang dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan ini menjadi platform antara kerajaan untuk memberi penjelasan dan bertukar pandangan dengan komuniti mengenai isu yang dibangkitkan.
‘Oleh itu, saya berharap program seperti ini harus dilaksanakan bukan hanya di kawasan tertentu sahaja malah di pelusuk negeri ini supaya maklumat yang ingin disampaikan jelas dan difahami komuniti, ” katanya.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Ajes Tuah, Pegawai Daerah Samarahan, Anuar Daan, dan Pegawai Penerangan Kota Samarahan, Abdul Talip Samsudin.
Oleh Jeakqleyn Yacho