
MARUDI: Penubuhan komuniti MADANI dapat membantu sebagai perantara dalam menyampaikan dasar kerajaan dan menyebarkan maklumat yang sahih dan tepat kepada masyarakat, kata Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Marudi, Fadzuan Yunus.
Katnya, terdapat tiga komuniti MADANI yang telah ditubuhkan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi iaitu komuniti MADANI Kampung Pemindahan, komuniti MADANI Rumah Jelaping Sungai Arang dan komuniti MADANI Sungai Mallang Bakong.
“Di sini kita memerlukan penglibatan aktif komuniti untuk mengambil tahu dan berkongsi maklumat yang sahih kepada orang ramai,” katanya ketika berucap di Majlis Ngiling Tikai di Rumah (Rh) Jelaping Sungai (Sg) Arang petang semalam.
Beliau berharap semua pihak di peringkat pentadbiran daerah memberi kerjasama padu serta sokongan dapat diperkukuhkan dalam memastikan apa sahaja dasar dan inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Turut berucap Tuai Rumah Jelaping Sg Arang di mana menurut beliau upacara ngajat mengeliling ‘renyai’ atau pokok yang dikelilingi semasa tarian ngajat bukan sahaja pertunjukan tarian malah ia adalah warisan roh nenek moyang yang perlu dikekalkan.
“Dalam semangat MADANI marilah kita jadikan ‘renyai’ sebagai cermin nilai masyarakat kita, sejahtera, inklusif dan saling hormat menghormati,” katanya.
Tambahnya, semoga budaya ini terus diwarisi oleh generasi muda agar mereka tahu dari mana asal-usul kita dan ke mana arah yang perlu ditujui.
Lebih 200 penduduk sekitar hadir memeriahkan suasana majlis tersebut.
Oleh Jiku Juguong