
MIRI: Lebih 400 penduduk menyertai Program Kesedaran Kebersihan dan Keselamatan Sungai yang berlangsung di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kee Tee, Long Lama dekat sini hari ini.
Program anjuran Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Dato Henry Harry Jinep.
Berucap pada program tersebut beliau berkata, program itu penting memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang peranan mereka terhadap pentingnya kebersihan dan keselamatan sungai sebagai nadi kehidupan luar bandar.

“LSS telah melaksanakan sebanyak 29 program berkaitan keselamatan sungai sejak tahun 2024, melibatkan lebih 5,781 peserta dari pelbagai komuniti di Sarawak.
“Ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan keselamatan pengguna sungai sentiasa terpelihara,” katanya.
Program sehari itu dipenuhi dengan pelbagai ceramah yang disampaikan oleh agensi berkaitan seperti Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Jabatan Pertanian Sarawak dan Majlis Daerah Marudi (MDM) yang menyentuh isu keselamatan pengangkutan air, pengurusan kebersihan sungai, pembuangan sisa pepejal dan konflik antara manusia dan buaya.
Oleh Liong Chai Ling