
KUCHING: Komuniti kenderaan pacuan empat roda (4×4) di Sarawak berperanan penting dalam memperkukuh perpaduan, disiplin serta tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat, kata Senator Dato Ahmad Ibrahim.
Menurut beliau, aktiviti 4×4 bukan sekadar hobi atau rekreasi, sebaliknya membentuk budaya yang menekankan nilai kerjasama, kepimpinan serta semangat saling membantu tanpa mengira latar belakang.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Kelab Kembara Permotoran Pacuan Empat Roda Kota Samarahan, D-Generation 4×4 Adventure, yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Majlis makan malam anjuran D-Generation 4×4 Adventure Club itu menghimpunkan sebanyak lapan kelab 4×4 dari pelbagai bahagian di Sarawak.
Katanya, setiap cabaran dalam aktiviti 4×4 memerlukan kerjasama pasukan, sekali gus menyumbang kepada pembentukan perpaduan dan disiplin dalam komuniti.


Dalam ucapannya, Senator Ahmad berkata kelab-kelab 4×4 berperanan sebagai platform yang menyatukan ahli daripada pelbagai kaum, agama, daerah dan generasi, selaras dengan semangat Segulai Sejalai yang menjadi identiti Sarawak.
Beliau turut mengingatkan kepentingan aspek keselamatan, etika serta pemeliharaan alam sekitar dalam setiap aktiviti ‘off-road’.
“Hutan dan laluan kembara bukan sekadar trek aktiviti, sebaliknya merupakan amanah yang perlu dipelihara demi kepentingan generasi akan datang,” katanya.

Menurut beliau, komuniti 4×4 juga mempunyai potensi besar dalam pembangunan kepimpinan belia, pengembangan pelancongan komuniti serta penglibatan dalam program khidmat masyarakat.
Dalam pada itu, sebanyak 13 aktiviti berjaya diadakan oleh kelab itu sepanjang 2025 termasuk program sumbangan kepada mangsa banjir dan penduduk pedalaman, aktiviti pengembaraan dan cabaran 4×4, karnival kesihatan komuniti, penyertaan jambori antarabangsa serta program kekeluargaan dan sambutan akhir tahun.
Majlis berkenaan turut dihadiri Presiden Kelab D-Generation 4×4 Adventure Ritchie Monde, Timbalan Presiden Sarawak Motorsports Association John Cosmas, barisan Jawatankuasa Kelab serta wakil-wakil kelab 4×4 dari seluruh Sarawak.