PHNOM PENH (Kemboja): Komuniti Islam dalam negara anggota Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) perlu menerima transformasi ekonomi baharu dan kemajuan teknologi sebagai usaha memperkasakan ekonomi.
Premier Sarawak merangkap Presiden RISEAP Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, masyakat Islam terutamanya dalam masyarakat minoriti harus berusaha meningkatkan taraf ekonomi mereka sebagai pelopor kepada pembinaan yang kukuh dan teguh dan menjadi masyarakat yang dihormati dalam kalangan mereka yang lebih besar.
“Dalam kita menjalani kehidupan harian, teknologi Kecerdasan Buatan (AI) telah banyak memudahkan kerja, menambah baik keputusan, produk, meningkat potensi bakat dan mengurangkan kesilapan manusia.
“Oleh itu, kita perlu menerima hakikat bahawa teknologi AI telah banyak membawa perubahan kepada setiap aspek kehidupan kita,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa majlis pembukaan Perhimpunan Agung RISEAP Ke-20 di sini, hari ini.
Majlis turut dihadiri Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Setiausaha Kehormat RISEAP Dato Mohamad Marzuki Mohamad Omar.
RISEAP, ujar Abang Johari, memfokuskan pada enam teras dengan misi utama adalah untuk menerapkan prinsip-prinsip asas Islam.
“Selain itu, kita percaya bahawa setiap orang Islam mesti menegakkan perlembagaan negara yang mereka diami dan menghormati budaya dan agama negara.
“Saya gembira mengetahui umat Islam di Kemboja sangat berdedikasi kepada Kemboja dan berintegrasi dengan baik dengan masyarakat Buddha dan lain-lain,” ujarnya.
Beliau juga menambah masyarakat Islam di wilayah RISEAP perlu mengambil pendirian tegas untuk menolak ekstremisme dan berganding bahu serta bersatu dengan masyarakat lain untuk mendepani ekstremisme.
“Dengan menggalakkan persefahaman antara agama dan bekerjasama rapat dengan kumpulan agama lain, negara anggota dan RISEAP boleh menunjukkan bagaimana Islam inklusif dan menggalakkan keamanan dan muhibah dalam konteks masyarakat berbilang agama,” tambahnya.
Sementara itu, Perhimpunan Agung RISEAP Ke-20 disertai deligasi dari Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina, Kemboja, Thailand, Vietnam, Myanmar, Laos, Sri Lanka, Maldives, New Zealand, Australia, Fiji Island, Papua New Guinea, Vanuatu, Samoa, New Caledonia, Taiwan, Hong Kong, South Korea, Jepun dan Malaysia. -EDISI UKAS