
SIBU: Komuniti Iban disifatkan sebagai nadi kepada warisan dan jiwa Sarawak, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh.
Menurut beliau, kekuatan budaya, semangat dan nilai kekeluargaan yang kukuh dalam kalangan masyarakat Iban menjadi tunjang utama dalam memperkukuh perpaduan rakyat berbilang kaum di negeri ini.
“Marilah kita terus bekerjasama melangkaui batas kaum, agama dan wilayah demi Sarawak yang lebih bersatu, makmur dan harmoni,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Ngiling Bidai di Rumah Munie, Bukit Besai di sini, malam Sabtu lalu.
Ngiling Bidai merupakan tradisi penutup sambutan Gawai Dayak dalam kalangan komuniti Dayak di Sarawak.
Wong yang juga Naib Presiden Kanan Parti Demokratik Progresif (PDP) berkata, tradisi itu bukan sekadar adat turun-temurun tetapi melambangkan jati diri, ketahanan dan maruah masyarakat Iban.
“Ia adalah peringatan bahawa meskipun zaman telah berubah, akar budaya kita tetap menjadi panduan dan kekuatan kita,” katanya sambil menzahirkan rasa bangga terhadap keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sarawak.
“Kita bukan sahaja meraikan perayaan sendiri, tetapi turut menghargai dan menyambut budaya serta perayaan masyarakat lain dengan penuh hormat,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada komuniti Iban di Bukit Besai atas komitmen mereka dalam mengekalkan dan meneruskan amalan budaya yang diwarisi sejak sekian lama.
“Budaya bukan sekadar sejarah. Ia hidup, berkembang dan menyatukan kita. Sambil kita menghargai budaya, kita juga perlu melihat ke hadapan,” katanya sambil mengulangi komitmennya untuk terus memperjuangkan pembangunan luar bandar secara inklusif.
“Selagi saya diberikan kepercayaan untuk berkhidmat, saya akan terus memperjuangkan pembangunan yang inklusif dan memastikan tiada sesiapa yang terpinggir,” katanya.
Majlis tersebut dihadiri sekitar 500 penduduk dari kawasan Bukit Besai.
Oleh Tarani Lanting