
MARUDI: Sejumlah RM230,000 peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) diagihkan kepada 20 persatuan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta organisasi lain di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi.
Peruntukan tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil yang menyempurnakan penyerahan cek MRP semasa menghadiri Pesta Siju, iaitu Pesta Ikan 2025 di Kampung Loagan Bunut Tinjar.

Pesta berkenaan dianjurkan bersama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), JKK Kampung Logan Bunut dan Jawatankuasa Kemajuan Ikan Loagan Bunut yang berlangsung sejak semalam dan berakhir hari ini.
Sepanjang pesta tersebut berlangsung, pelbagai aktivit lain turut diadakan iaitu aktiviti perikanan air tawar, jualan produk-produk perikanan tempatan dan pameran seni kraf tangan hasil penduduk tempatan.

Penguang mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan melaksanakan pesta berkenaan dan berharap program seperti ini perlu diteruskan pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Penguang juga berharap kerjasama seperti ini dapat merapatkan jurang antara pihak SFC dan penduduk setempat.
Bagi menyokong akiviti Kampung Loagan Bunut, Penguang telah mengumumkan MRP RM10,000 kepada mereka.
Oleh Jiku Jukuong