
TEBEDU: Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn menyumbangkan seekor lembu korban kepada penduduk Kampung Darul Islam Belimbing, Padawan sempena sambutan Aidiladha.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat turut hadir memeriahkan Majlis ‘Jak Ta Nai Ibadah Qurban’ di kampung berkenaan semalam.
Dalam majlis tersebut, Dato Sri Roland secara simbolik menyerahkan daging korban kepada penduduk setempat yang merupakan penerima sumbangan.

Beberapa ekor lembu korban lain turut disumbangkan oleh pelbagai pihak yang prihatin terhadap kebajikan komuniti kampung tersebut.
Majlis diserikan dengan persembahan tarian tradisional Bidayuh sebagai tanda penghormatan masyarakat tempatan kepada kehadiran pemimpin ke kampung mereka.
Kampung Darul Islam Belimbing merupakan sebuah perkampungan komuniti Bidayuh Muslim di kawasan Tebedu.
Turut hadir, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin, dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Damen Rejek. – UKAS