SIBU: Program Randau Keselamatan Komuniti Ba’kelalan menjadi platform interaksi dan perkongsian maklumat antara komuniti setempat dengan agensi keselamatan dan penguatkuasaan dalam memperkukuh kesedaran berkaitan keselamatan sempadan.
Program anjuran Majlis Keselamatan Negara Negeri Sarawak (MKN) dengan kerjasama Briged Kesembilan Infantri Malaysia itu telah berlangsung di Dewan Kampung Buduk Nur, Ba’kelalan, baru-baru ini.
Program turut melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Briged Kesembilan Infantri Malaysia dan Sapura Research Sdn. Bhd. yang menyampaikan taklimat berkaitan keselamatan sempadan serta peranan komuniti dalam membantu memelihara keselamatan kawasan setempat.
Selain sesi taklimat, program turut diserikan dengan kuiz keselamatan yang memberi peluang kepada komuniti menguji pengetahuan dan kefahaman berkaitan aspek keselamatan yang telah disampaikan.
Majlis penutupan program telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Penghulu Ba’kelalan, Yudan Meru, diikuti persembahan tarian tradisional etnik Lun Bawang serta persembahan Angklung oleh penduduk Kampung Buduk Nur.
Dalam pada itu, Brigedier Jeneral Dato Jafri Sulaiman menyampaikan ucapan penghargaan atas kerjasama strategik antara pihak 9 Briged, MKN Negeri Sarawak dan komuniti setempat dalam menjayakan program tersebut.
Majlis kemudiannya telah dirasmikan oleh Pengarah Keselamatan Negeri (MKN) Negeri Sarawak, Mohammad Haffizie Putit.
Dalam ucapannya, Mohammad Haffizie menekankan kepentingan kerjasama erat antara komuniti di kawasan sempadan dengan agensi keselamatan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan kawasan sentiasa terpelihara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada 10 kampung di kawasan Ba’kelalan atas sokongan dan penglibatan dalam menjayakan program.
Komitmen komuniti amat penting dalam membantu agensi keselamatan mengekang aktiviti rentas sempadan yang menyalahi undang-undang termasuk ancaman penyeludupan dadah yang boleh memberi kesan khususnya kepada golongan belia serta keselamatan komuniti secara keseluruhannya.
Turut hadir Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sempadan Darat, MKN Jabatan Perdana Menteri, Izzati Ismail serta yang lain.
Oleh Akun Giman



