
BINTANGOR: Projek naik taraf fasa kedua Kompleks Sukan Bintangor bernilai RM3.5 juta dilihat sebagai langkah strategik kerajaan Sarawak dalam memperkasa kemudahan sukan dan rekreasi komuniti di daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata pelaksanaan projek naik taraf fasa kedua menyusul selepas kejayaan menyiapkan sepenuhnya fasa pertama projek tersebut.
“Projek naik taraf fasa kedua akan memberi tumpuan kepada pembinaan sebuah stadium tertutup serta beberapa kerja luaran lain bagi melengkapkan kemudahan sedia ada untuk kegunaan masyarakat setempat.
“Pelaksanaan fasa kedua ini dijangka meningkatkan lagi kualiti kemudahan sukan dan rekreasi di kawasan ini, selaras dengan keperluan penduduk yang semakin meningkat,” katanya ketika ditemui media selepas menyaksikan majlis penyerahan projek siap fasa pertama Kompleks Sukan Bintangor, semalam.
Dalam pada itu, Kuong Hiing menjelaskan bahawa projek naik taraf fasa pertama melibatkan kos keseluruhan RM2.5 juta, merangkumi kerja menaik taraf trek larian supaya lebih selamat, selesa dan sesuai digunakan untuk aktiviti riadah serta sukan.
“Usaha menaik taraf Kompleks Sukan Bintangor ini sebenarnya sudah lama saya perjuangkan sejak bergelar wakil rakyat dan ia sering dibangkitkan secara konsisten sehingga akhirnya membuahkan hasil apabila fasa pertama berjaya disiapkan sepenuhnya.
“Saya ingin mencadangkan agar lampu solar dipasang di sekitar kompleks sukan te sebagai langkah meningkatkan tahap keselamatan, di samping membolehkan penduduk menjalankan aktiviti riadah dan bersukan pada waktu malam,” katanya.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak, khususnya Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas kelulusan peruntukan projek naik taraf tersebut serta Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) yang menjayakan pelaksanaannya.
“Kemudahan ini amat penting khususnya kepada komuniti setempat dan pihak sekolah yang sebelum ini terpaksa menggunakan fasiliti di lokasi lain bagi menjalankan aktiviti sukan,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek