
PETRA JAYA: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga bakal menikmati kemudahan sukan yang lebih lengkap apabila Kompleks Sukan Lingga bernilai RM20 juta dijangka dibina tidak lama lagi, sekali gus menjadi pemangkin pembangunan sukan dan gaya hidup sihat di daerah berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata projek pembinaan kompleks sukan itu akan dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA).
Menurut beliau, Kompleks Sukan Lingga tersebut akan dibina di kawasan bersebelahan tapak Pejabat Daerah baharu Lingga dengan keluasan kira-kira 20.14 ekar, yang strategik dan sesuai untuk pembangunan kemudahan awam berskala besar.
“Projek ini merupakan satu khabar gembira buat warga Lingga yang telah lama menantikan kemudahan sukan yang lengkap dan moden.
“Pelbagai aspek telah dibincangkan termasuk rekaan, keadaan geografi kawasan pembinaan serta fasiliti yang bakal disediakan agar ia dirancang dengan sebaik mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dayang Noorazah berkata pembinaan kompleks sukan itu bukan sahaja memenuhi keperluan belia dan masyarakat setempat, malah berpotensi menjadi mercu tanda baharu kebanggaan Daerah Lingga.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut hadir membentangkan cadangan projek pembinaan Kompleks Sukan Lingga kepada Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, di kementerian tersebut semalam.
Beliau menegaskan, kerjasama strategik antara Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) dan Pejabat Daerah Lingga memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan sukan dilaksanakan secara tersusun, inklusif dan memberi impak jangka panjang.
“Saya berharap projek ini dapat direalisasikan mengikut perancangan agar manfaatnya dapat dinikmati sepenuhnya oleh masyarakat setempat, selaras dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat,” ujarnya.
Sehubungan itu, Dayang Noorazah turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas komitmen berterusan merealisasikan impian masyarakat DUN Lingga untuk memiliki sebuah kompleks sukan yang bakal menjadi kenyataan.
Oleh Adi Safarman