
DALAT: Kerajaan Sarawak meluluskan pembinaan Kompleks Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah Sarawak (SNDB) di Dalat dengan kos melebihi RM39 juta sebagai langkah memperkukuh pembangunan industri sagu dan nipah di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, projek tersebut mendapat sokongan penuh Premier Sarawak dan dijangka menjadi mercu tanda baharu bagi industri berkenaan.
Menurut beliau, kompleks itu akan mempamerkan keseluruhan rantaian industri sagu, termasuk aspek budaya yang berkait rapat dengan tanaman tersebut, sekali gus berfungsi sebagai pusat rujukan yang lebih komprehensif di rantau ini.

“Kita mahu kompleks ini menjadi lebih baik dan lebih komprehensif sebagai pusat rujukan industri sagu di rantau ini, selaras dengan kedudukan Sarawak sebagai pengeluar utama sagu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Karnival Balau Dalat 2026 di Tebingan Dalat, hari ini.
Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, selain pembinaan kompleks berkenaan, kerajaan negeri turut meluluskan projek Dalat Boutique Hotel yang akan diuruskan oleh sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri.
Katanya, pembinaan hotel tersebut dijangka dapat menyokong perkembangan sektor pelancongan tempatan serta merancakkan aktiviti ekonomi di Dalat.
Dalam pada itu, beliau berkata SNDB turut memainkan peranan membantu menyelesaikan isu pemilikan tanah yang sering dihadapi pekebun kecil dengan bertindak sebagai fasilitator kepada Jabatan Tanah dan Survei.
Menurutnya, sebanyak 110 permohonan berkaitan tanah telah dikemukakan setakat ini, dengan 38 daripadanya telah diluluskan.
“Sebanyak 36 geran telah diserahkan dan dua lagi sedang menunggu penyerahan, manakala 58 permohonan masih dalam proses,” katanya.
Beliau berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan pembangunan industri sagu dapat dilaksanakan secara lebih terancang serta memberi manfaat berterusan kepada pekebun kecil di Dalat dan kawasan sekitarnya.
Hadir sama, Pengurus Besar SNDB, Zaidell Hussaini.
Oleh Tarani Lanting