BINTULU: Kompleks Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim (Peryatim) Bintulu kini dinamakan semula sebagai Kompleks Peryatim Daud Abdul Rahman.
Penamaan semula itu diumumkan oleh Pengerusi Peryatim Sarawak, Datuk Misnu Taha, yang juga Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), dalam program penangguhan majlis Tilawah al-Quran dan Nasyid di kompleks berkenaan di sini petang semalam.
Menurutnya, langkah tersebut diambil sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangan bekas Menteri Muda Hal Ehwal Islam Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman dalam memperkasakan pembangunan modal insan di Sarawak.
“Kompleks ini juga akan melalui beberapa penambahbaikan untuk anak-anak yatim yang menghuni di sini,” katanya.
Beliau berkata, kompleks Peryatim di Sarawak bukan sekadar menyediakan tempat perlindungan bagi anak-anak yatim, tetapi juga merupakan satu institusi pembangunan modal insan yang menyediakan latihan dan sokongan bagi memajukan kehidupan anak-anak tersebut.
“Anak-anak yatim di sini bukan sekadar penghuni, tetapi mereka adalah aset penting dalam pembangunan rakyat Sarawak.
“Kita memberi mereka latihan dan sokongan yang diperlukan untuk membangunkan potensi mereka,” jelasnya.
Misnu turut berkongsi rancangan untuk membina lebih banyak kompleks Peryatim di seluruh Sarawak, termasuk di Bintulu, Sibu, Kuching, dan Miri, sebagai sebahagian usaha berterusan untuk memperkasakan pembangunan modal insan di negeri ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, turut menyatakan komitmennya untuk memperkenalkan lebih banyak infrastruktur berunsur Islamik di Jepak dan Bahagian Bintulu.
“Kami sudah berbincang untuk merancang dan membina lebih banyak infrastruktur yang berasaskan sudut Islamik di Jepak dan Bahagian Bintulu.
“Dengan sokongan daripada pemimpin akar umbi, kami yakin Islam akan terus berkembang di kawasan ini,” katanya.
Pada majlis sama, Peryatim Kuching dinobatkan sebagai johan petandingan Tilawah al-Quran dan Nasyid Peringkat Negeri Sarawak ke-5 setelah menjuarai empat daripada kategori yang dipertandingkan.