
LAWAS: Kerajaan Sarawak, melalui inisiatif untuk memastikan perkhidmatan kepada rakyat sentiasa ditambah baik telah membina beberapa bangunan yang menempatkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan negeri di bawah satu bumbung.
Bagi Daerah Lawas, sebuah bangunan dikenali sebagai Kompleks Pentadbiran Bersepadu (IAC) Lawas kini telah hampir siap dan bakal digunakan pada Ogos tahun ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang melakukan lawatan kerja ke bangunan berkenaan turut berpuas hati dengan kerja perlaksanaan yang berjalan lancar.
“Bangunan ini dapat menempatkan 16 jabatan dan agensi kerajaan negeri dan ia dilengkapi dengan fasiliti yang cukup baik dan saya berharap bangunan ini akan dapat disiapkan mengikut sasaran yang telah ditetapkan.
“Memandangkan semuanya di bawah satu bumbung yang sama kita jangkakan sistem penyampaian perkhidmatan akan lebih meningkat dan saya juga mengingatkan supaya kemudahan-kemudahan berteknologi harus diambil kira untuk memudahkan.
“Kita boleh mengadakan mesyuarat secara atas talian dan berhubung dengan jabatan-jabatan di peringkat negeri pun mudah, ” katanya kepada media selepasĀ melakukan lawatan kerja ke Kompleks Pentadbiran Bersepadu (IAC) Lawas hari ini.
Pada masa yang sama beliau berharap bangunan pejabat berpusat di bawah satu bumbung ini akan mengurangkan karenah birokrasi di samping mempermudahkan perhubungan antara agensi dan jabatan kerajaan Sarawak.
Oleh Adeng Edrus