PANTU: Kerajaan Sarawak mahu mewujudkan sebuah kompleks pentadbiran untuk kawasan Pantu yang kini sudah menjadi sebuah daerah terbaharu dalam kawasan Bahagian Sri Aman.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kewujudan kompleks tersebut di sini adalah penting bagi menempatkan Pusat Pentadbiran Daerah Pantu dan para kakitangannya.
“Kewujudan kompleks pentadbiran baharu itu nanti akan memudahkan rakyat dari kawasan ini (Pantu), Lachau dan kawasan sekitarnya untuk melakukan urusan rasmi dengan agensi kerajaan.
“Bagaimanapun, sudah pasti usaha ini berkehendakkan wang (peruntukan). Namun, jangan bimbang kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) pasti akan menyalurkan peruntukan tersebut (bagi membolehkan ia dibina di sini),” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pantu Sebagai Daerah bertempat di Dewan Sri Pantu, Sri Aman pagi semalam.
Selain itu, kewujudan kompleks pentadbiran baharu berkenaan juga membantu memperkenalkan Daerah Pantu sebagai lokasi tumpuan pelancong yang penting di Bahagian Sri Aman pada masa akan datang.
“Kehadiran kompleks pentadbiran, Pegawai Daerahnya dan kakitangan di situ secara tidak langsung akan dapat membantu mempromosi Gunung Lesung dan kawasan Lachau sebagai lokasi tumpuan pelancong di Pantu.
“Justeru, saya berharap agar rakyat dalam kawasan ini sama-sama membantu merealisasikan hasrat tersebut dengan memastikan GPS terus kekal berada di sini pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) nanti,” kata beliau.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan, Residen Bahagian Sri Aman, Datu Indit Bangai, pemangku Presiden Parti Rakyat (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum dan calon GPS DUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang.
Majlis tersebut turut diselitkan dengan upacara penyerahan watikah pengisytiharan Pantu sebagai daerah, penyampaian Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) dan Surat Tawaran Lesen Pendudukan Sementara Kampung Baru Pantu.
Terdahulu, Pantu adalah merupakan sebuah daerah kecil dalam kawasan Bahagian Sri Aman sejak 1977 sebelum statusnya ditukar kepada daerah serentak dengan empat kawasan lain di negeri ini.
Kawasan itu adalah Daerah Gedong dan Sebuyau di Bahagian Samarahan, Daerah Siburan di Bahagian Serian, Daerah Lingga di Bahagian Sri Aman dan Daerah kecil Balai Ringin di Bahagian Serian.
Oleh VALENTINE NGUMBANG