
SIMANGGANG: Kompleks Islam Sarawak Sri Aman yang bakal menjadi mercu tanda baharu di Bandar Simanggang dijadual dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 20 Disember ini.
Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, persiapan kini giat dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan majlis perasmian berjalan lancar.
“Kompleks ini bukan sekadar pusat pentadbiran, tetapi simbol kemajuan dan penyatuan umat Islam di Sri Aman.
“Ia akan menjadi pusat ilmu, dakwah dan kebajikan untuk manfaat masyarakat setempat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan dan lawatan tapak majlis perasmian hari ini.

Dibina di atas tapak seluas 2.58 hektar sejak Februari 2021, kompleks tujuh tingkat itu menempatkan pelbagai jabatan kerajaan negeri termasuk Pejabat Residen Sri Aman, Pejabat Daerah, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Jabatan Hutan, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) serta Kaunter Servis Sarawak.
Terletak strategik di tepi Sungai Batang Lupar, kompleks ini turut dilengkapi 32 unit kedai tiga tingkat sebagai sebahagian daripada pembangunan bersepadu kawasan tersebut.
Reka bentuk seni bina Islamik moden serta sistem pencahayaan berwarna-warni menjadikan kompleks ini tarikan visual baharu Bandar Simanggang, khususnya pada waktu malam.
Abang Mohd Shibli turut menggesa penduduk Sri Aman hadir beramai-ramai memeriahkan majlis perasmian sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan yang membawa manfaat kepada rakyat.
Mesyuarat penyelarasan turut meneliti aspek keselamatan, logistik dan protokol rasmi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi keselamatan lain.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superitenden Dennis Bunyam, Penolong Pegawai Tadbir Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPAN), Awang Mohamad Shukri Awang Arsad, Pengurus Kompleks Islam Sarawak Sri Aman, Shamsul Bahri, ketua-ketua jabatan serta wakil-wakil agensi kerajaan dan berkaitan.
Oleh Adi Safarman