
SIMANGGANG: Kompleks Islam Sarawak (KIS) Sri Aman yang kini hampir siap dibina dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada tahun hadapan sekali gus menjadi mercu tanda baharu bandar ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi hari ini mengadakan lawatan rasmi ke kompleks berkeluasan 6.37 ekar itu, diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.
Projek yang dibangunkan dua fasa ini menampilkan pembinaan bangunan pejabat tujuh tingkat diikuti 32 unit kedai tiga tingkat.


DATUK Dr Abdul Rahman Junaidi hari ini mengadakan lawatan rasmi ke Kompleks Islam Sarawak (KIS) Sri Aman yang diiringi oleh, Dayang Noorazah hari ini. Foto: Unit Media DUN N.28 Lingga
Sebaik beroperasi, tujuh jabatan dan agensi kerajaan negeri akan berpindah masuk termasuk Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, Pejabat Daerah, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Sri Aman, Jabatan Hutan Wilayah, Jabatan Pengairan dan Saliran, UKAS serta Kaunter Servis Sarawak.
“Kompleks ini bukan sahaja menambah baik pentadbiran kerajaan, malah akan menjadi simbol kemajuan, identiti baharu dan kesejahteraan rakyat berlandaskan nilai-nilai Islam,” kata Dayang Noorazah.
Terletak di tepi Sungai Batang Lupar, kompleks ini mengetengahkan seni bina Islamik moden dengan pencahayaan berwarna-warni yang dijangka menjadi tarikan utama, khususnya pada waktu malam.
Hadir sama Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Pengarah JAIS, Mual Haji Suaud, Pengerusi Lembaga Amanah Masjid Sri Aman, Dato Abang Shamshudin Abang Seruji serta barisan pemimpin tempatan dan wakil agensi kerajaan.
Oleh Adi Safarman