PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed menunjukkan buku Statistik Subnasional Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Majlis Pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci 2020 di Dewan Canselor Management dan Science University (MSU) Seksyen 13 semalam.• Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Kerajaan tidak membezakan mana-mana individu yang melakukan apa jua kesalahan termasuk melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Tidak ada konsep orang atas kayangan tidak kena kompaun dan orang bawah sahaja kena kompaun. Sesiapa yang langgar SOP akan dikenakan kompaun termasuk Menteri Pertahanan dan lain-lain, tidak kira siapa,” katanya kepada media selepas merasmikan Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 di sini semalam.
Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai kompaun yang dikenakan Kementerian Kesihatan (KKM) kepada penganjur Majlis Pelancaran Briged MIC serta beberapa pemimpin kanan kerajaan termasuk Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana melanggar SOP Covid-19, semalam.
Menjawab desakan pemimpin DAP yang mahu Hishammuddin meletakkan jawatan, Ismail Sabri berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian.
“Langgar SOP bukan jenayah, tiada kena mengena dengan jenayah dan KKM telah keluarkan kompaun dan kalau sesiapa kena kompaun letak jawatan, saya rasa tiada orang boleh bekerja,” kata perdana menteri sambil tidak menafikan bahawa SOP penting untuk dipatuhi.
“Pegawai kerajaan, kakitangan kerajaan ramai sudah kena kompaun jadi semua kena letak jawatan ke?, jadi tak perlu. Yang penting tindakan diambil, maknanya kerajaan tidak membeza-bezakan individu yang melakukan kesalahan, mereka terbabit boleh jadi menteri, timbalan menteri, ketua jabatan…boleh jadi sesiapa sahaja,” katanya. – Bernama