KOMPAK kukuh peranan ketua komuniti sebagai penghubung kerajaan, rakyat

Facebook
WhatsApp
DATUK Dr Mohammad Razi Sitam dan Dato Dr Richard Rapu pada majlis penangguhan Program KOMPAK Siri 1/2026 yang berlangsung di Dewan Perpaduan Debak, kelmarin. Foto Dr Richard Rapu

DEBAK: Program Komuniti Prihatin, Aktif dan Kompeten (KOMPAK) Siri 1/2026 menjadi platform penting dalam memperkasa keupayaan ketua komuniti serta persatuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas.

Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, berkata program berkenaan amat penting bagi memastikan ketua komuniti mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang mencukupi dalam melaksanakan tanggungjawab di peringkat akar umbi.

Menurutnya, peranan ketua komuniti bukan sahaja sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat, malah turut penting dalam memastikan maklumat berkaitan dasar, bantuan dan perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan dengan tepat serta berkesan.

“Program seperti KOMPAK memberi ruang kepada ketua komuniti untuk meningkatkan pengetahuan, bertukar pandangan serta mendapatkan penjelasan secara terus daripada agensi kerajaan berkaitan perkara yang menyentuh keperluan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penangguhan Program KOMPAK Siri 1/2026 yang berlangsung di Dewan Perpaduan Debak, dekat sini kelmarin.

Program berkenaan menghimpunkan 120 peserta terdiri daripada ketua komuniti dan persatuan dari kawasan DUN Saribas yang meliputi Daerah Kecil Debak, Spaoh dan Pusa.

Majlis penangguhan disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam.

Sepanjang program, peserta turut menerima pendedahan secara langsung daripada pelbagai agensi kerajaan berkaitan peranan ketua komuniti, bantuan serta perkhidmatan yang tersedia untuk masyarakat.

Antara agensi yang terlibat ialah Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Betong, Pejabat Kesihatan Bahagian Betong, Sarawak Service Bahagian Betong serta Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Sarawak.

Dr Richard berkata, penganjuran program seumpama itu turut membantu memperkukuh jaringan kerjasama antara ketua komuniti, masyarakat dan agensi kerajaan.

Katanya, hubungan yang lebih erat akan memudahkan proses penyampaian maklumat serta memastikan bantuan dan perkhidmatan kerajaan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Ketua komuniti yang berpengetahuan dan kompeten mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti yang lebih prihatin, aktif dan berdaya saing,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, semua agensi terlibat serta peserta atas komitmen dalam menjayakan Program KOMPAK Siri 1/2026.

Katanya, ilmu, pengalaman dan jaringan yang diperoleh sepanjang program diharap dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan masing-masing.

Program KOMPAK sekali gus memperlihatkan usaha berterusan dalam memperkasa komuniti di peringkat akar umbi melalui pengukuhan kompetensi, kerjasama dan hubungan strategik antara masyarakat dengan kerajaan.

Oleh Adi Safarman