
SARATOK: Pihak sekolah, para guru serta ibu bapa terus dihargai atas komitmen berterusan mereka dalam memastikan pendidikan al-Quran sentiasa dimartabatkan dalam kalangan generasi muda, sekali gus melahirkan insan seimbang dari segi ilmu dan akhlak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata usaha bersepadu melibatkan sekolah dan ibu bapa amat penting bagi membentuk generasi yang celik al-Quran serta memiliki sahsiah terpuji selaras dengan tuntutan agama dan keperluan masyarakat masa kini.
Beliau berkata demikian bersempena Majlis Khatam al-Quran Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Bollah, Kaba yang telah diadakan di Masjid Cahaya Islam Kampung Kaba baru-baru ini, yang berlangsung dengan meriah dalam suasana penuh keberkatan.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Daerah Saratok, Kaunselor Majid Amit Zainuddin yang hadir mewakili ADUN Kalaka, sekali gus nemperlihatkan sokongan padu kepimpinan setempat terhadap penganjuran program berunsur kerohanian di peringkat sekolah.
Mohamad Duri turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada semua peserta khatam yang telah berjaya menamatkan bacaan al-Quran, sambil berharap kejayaan tersebut menjadi permulaan kepada amalan berterusan dalam kehidupan seharian.
Sementara itu, Guru Besar SK Haji Bollah Kaba, Rosmaini Morshidi berkata majlis khatam al-Quran tersebut bukan sekadar simbol kejayaan dalam pembelajaran, malah menjadi manifestasi kekuatan rohani serta asas pembentukan akhlak mulia dalam diri murid-murid.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para guru pembimbing serta ibu bapa yang telah memainkan peranan besar dalam membimbing, mendidik dan memastikan anak-anak mereka istiqamah sehingga berjaya mengkhatamkan kitab suci al-Quran.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan penyampaian sijil khatam kepada para peserta serta jamuan kesyukuran sebagai tanda penghargaan dan kegembiraan atas kejayaan yang telah dicapai.
Oleh Adi Safarman