
MUKAH: Komitmen pelajar Politeknik Mukah dalam mengimarahkan aktiviti keagamaan sepanjang Ramadan dihargai apabila lima pelajar menerima sumbangan khas bagi membantu meringankan beban kewangan mereka sepanjang tempoh pengajian, baru-baru ini.
Sumbangan tersebut disampaikan pada Majlis Iftar Perdana anjuran Pusat Islam Politeknik Mukah kepada pelajar yang mencatat merit kehadiran tertinggi dalam aktiviti yang dianjurkan di Pusat Islam sepanjang bulan Ramadan.
Pengerusi Pusat Islam Politeknik Mukah, Muhammad Azam Ngah berkata, inisiatif berkenaan merupakan usaha menghargai ketekunan pelajar dalam menyertai program ibadah di samping memberi sokongan kewangan kepada mereka.

Menurutnya, bantuan dalam bentuk wang tunai itu diharap dapat membantu pelajar menampung sebahagian keperluan harian sepanjang mengikuti pengajian.
“Pengiktirafan ini sebagai tanda penghargaan kepada pelajar yang menunjukkan komitmen tinggi dalam mengimarahkan Pusat Islam sepanjang Ramadan. Pada masa sama, kita berharap sumbangan ini dapat meringankan beban kewangan mereka sebagai pelajar,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, usaha tersebut juga diharap menjadi galakan kepada pelajar lain untuk lebih aktif menyertai program kerohanian yang dianjurkan di kampus.

Aiman Zafri berkata, penghargaan tersebut sesuatu yang tidak disangka kerana pada awalnya beliau hanya ingin memanfaatkan Ramadan dengan menghadiri solat berjemaah serta program di Pusat Islam.
“Sebagai pelajar, setiap bantuan sangat bermakna kerana dapat membantu menampung keperluan harian. Pada masa sama, ia memberi motivasi untuk terus aktif menyertai aktiviti di Pusat Islam,” katanya.
Seorang lagi penerima, Puteri Norkiah berkata, program seumpama itu memberi pengalaman Ramadan yang lebih bermakna kepada pelajar yang berjauhan daripada keluarga.
“Ramadan di kampus terasa berbeza kerana tidak bersama keluarga, namun program seperti ini menjadikan suasana lebih meriah dan memberi peluang kepada pelajar menghidupkan aktiviti keagamaan bersama rakan,” ujarnya.
Majlis Iftar Perdana tersebut turut disertai warga politeknik, pelajar serta pelajar tahfiz berdekatan yang bersama-sama memeriahkan program berbuka puasa dan aktiviti kerohanian sepanjang Ramadan.
Penganjuran program itu diharap dapat terus memperkukuh peranan Pusat Islam sebagai pusat pengimarahan aktiviti kerohanian di kampus serta menyokong pembangunan sahsiah pelajar secara menyeluruh.
Antara penerima sumbangan ialah Aiman Zafri Ridzuan Rosdi, Puteri Norkiah Mohamad Sarbini, Muhammad Naqeeb Syahiran Mohamad Zamhari, Muhammad Shahran Sarbini dan Muhammad Amir Hanafi Abdul Aziz.
Oleh Adele Rissa